Dua suspek pecah masuk Perpustakaan Lawas ditahan

Facebook
WhatsApp
TANGKAPAN JENAYAH...Dua suspek pecah masuk perpustakaan berjaya diberkas pihak polis.

LAWAS: Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes pecah masuk sebuah bangunan yang menempatkan perpustakaan di Lawas, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 20 Julai lalu, kira-kira 11.37 pagi.

Menurutnya, pengadu yang berada di dalam bangunan berkenaan mendapati tingkap di bahagian belakang terbuka.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bangunan mendapati sejumlah wang tunai dan beberapa peralatan telah hilang dengan jumlah kerugian dianggarkan RM6,308,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bertindak atas maklumat, sepasukan polis berjaya menahan suspek pertama, seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun, di bandar Lawas kira-kira 12.50 tengah hari pada 12 Ogos.

Lelaki tersebut ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Menurut Liong, semakan mendapati suspek mempunyai 11 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Tidak lama kemudian, kira-kira 1.20 petang pada hari sama, polis menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 32 tahun di sebuah tapak pembinaan di bandar Lawas.

“Suspek cuba melarikan diri ketika hendak ditahan, namun berjaya diberkas oleh pasukan serbuan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai 12 rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.