Padawan sertai rangkaian global WHO bagi bandar mesra usia

Facebook
WhatsApp
DR Rabindra Abeyasinghe (kiri) menyerahkan surat pengesahan keahlian MPP dalam Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia WHO kepada Pengerusi MPP, Cr Tan Kai.

PADAWAN: Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memperkukuh komitmennya untuk membangunkan komuniti yang mampan, inklusif dan selesa didiami menerusi penyertaan rasmi dalam Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia (AFCC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengerusi MPP, Cr Tan Kai, berkata MPP secara rasmi menyertai rangkaian berkenaan pada Februari lalu sebagai sebahagian daripada usaha mempersiapkan Sarawak menghadapi peningkatan populasi warga emas menjelang 2028.

“Di Padawan, pendekatan mesra usia mencerminkan komitmen MPP terhadap visi untuk membina Padawan yang mampan, inklusif dan selesa didiami, di mana semua golongan umur diberi ruang dan tiada siapa yang dipinggirkan,” katanya.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), khususnya tonggak Keterangkuman Sosial.

Tan Kai berkata MPP hari ini menerima kunjungan delegasi WHO yang diketuai Wakil WHO ke Brunei Darussalam, Malaysia dan Singapura, Dr Rabindra Abeyasinghe.

Dalam kunjungan itu, Abeyasinghe menyerahkan surat rasmi pengesahan keahlian MPP dalam Rangkaian Global Bandar dan Komuniti Mesra Usia WHO kepada Tan Kai.

Menurut Tan Kai, penyertaan dalam AFCC merupakan komitmen terbaharu MPP dalam usaha memupuk komuniti yang mampan, inklusif dan sihat.

Katanya, usaha itu melengkapi inisiatif terdahulu MPP menerusi Pelan Tindakan Bandar Hijau dan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak.

Oleh Connie Chieng