KUCHING: Seluas 84, 914 hektar tanah sudah siap diukur melalui inisiatif baharu program pengukuran Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin sehingga 31 Oktober tahun ini.
Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar, Datu Len Talif Salleh berkata daripada keluasan itu, 7, 048 hektar telah diukur membabitkan lot individu yang menghasilkan 2, 625 lot pertanian.
Beliau nmenjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira @ Gira Sambang pada sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini
Len Talif berkata Jabatan Tanah dan Survei (JTS) juga telah mengadakan dialog bagi memberi penerangan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk menjalankan kerja-kerja pengukuran.
“JTS masih menunggu maklum balas daripada KMKK berkenaan persetujuan penuntut tanah berhubung kerja pengukuran perimeter bagi kawasan yang belum diukur.
“Sekiranya penuntut tanah bersetuju pihak JTS akan memulakan dialog di lapangan sebelum memulakan kerja pengukuran.
“Persetujuan dan kerjasama penduduk di kawasan itu penting bagi menjayakan kerja-kerja pengukuran tanah bagi membolehkan kawasan tersebut diklasifikasikan di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri,” katanya.
Sementara itu, beliau mengingatkan pihak yang menuntut tanah perlu memastikan tanah yang dituntut bebas daripada pertikaian dan pihak yang menuntut perlu memastikan mereka hadir bersama semasa pengukuran di lapangan.
“Penuntut (tanah) juga perlu bersedia memastikan dan mengenalpasti serta menandakan sempadan tanah masing-masing dengan mengemukakan pelan lakaran kasar dan senarai nama penuntut tanah beserta permohonan mereka,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA