KUCHING: Belanjawan Sarawak 2023 akan mengutamakan usaha mempercepatkan pembangunan, memastikan pertumbuhan wilayah yang lebih seimbang serta menangani keperluan sosioekonomi dan cabaran yang dihadapi rakyat.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan besar kerajaan negeri dalam pembangunan infrastruktur juga akan memastikan rakyat mempunyai akses lebih besar kepada peluang pekerjaan dan perniagaan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
“Justeru pada 2023, pelaksanaan pelbagai projek berjiwa rakyat akan dipergiatkan termasuk Program Transformasi Luar Bandar dengan peruntukan RM420 juta; Projek Rakyat dengan peruntukan RM500 juta dan Projek Khas, secara rasmi dikenali sebagai Projek Luar Bandar Kecil dengan peruntukan RM237 juta,” katanya ketika membentang usul Belanjawan Sarawak 2023 di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Abang Johari berkata, dalam usaha memastikan rakyat tinggal di rumah yang baik dan berkualiti, kerajaan negeri komited untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.
“Bagi tujuan ini, RM316 juta telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, yang mana kira-kira RM52 juta akan disediakan pada 2023 untuk pelaksanaan 21 projek rumah mampu milik di Kuching, Serian, Betong, Sibu, Mukah dan Miri oleh Perbadanan Kemajuan Perumahan,” katanya.
Kerajaan negeri juga katanya, memberi tumpuan kepada program pembaharuan bandar yang mampan di mana rumah mampu milik akan disediakan, dilengkapi infrastruktur asas, utiliti, tempat ibadat dan bersepadu dengan jenis pembangunan lain seperti kemudahan komersial dan rekreasi.
Pelbagai projek pembaharuan bandar yang sedang dilaksanakan, antaranya ialah Pembangunan Semula Darul Hana; Projek Perumahan Sungai Bedaun; Pembangunan Semula Kampung Tabuan Melayu; Pembangunan Semula Kampung Datu Sibu.
Pembangunan Perumahan Mampu Milik Kemuyang, Sibu; Pembangunan Semula Kampung Baru Kapit; Pembangunan Jepak Jaya, Pembangunan Semula Semariang Pinggir; Pembangunan Semula Kampung Wireless Miri; Bandar Baru Nangka Sibu; dan Pembangunan Padang Kerbau/Lopeng Miri.
“Semua projek ini sedang berjalan dan pada pelbagai peringkat pelaksanaan.
“Pada 2023, sejumlah RM42.5 juta akan disediakan untuk mempergiatkan pelaksanaan projek-projek pembaharuan bandar ini,” katanya.
Oleh NUR AIN OTSMAN