PETRA JAYA: Sebanyak 58 projek pembinaan semula sekolah daif di Sarawak di bawah Peruntukan Khas RM1 bilion Bayaran Pendahuluan telah siap sepenuhnya setakat November tahun ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata projek itu memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 pelajar untuk mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang berkualiti.
”Meskipun (autonomi) pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Sarawak sentiasa mengambil langkah proaktif, melabur peruntukan yang besar untuk menangani jurang dan menyediakan sokongan yang diperlukan untuk memartabatkan sekolah kita.
”Salah satu inisiatif terpenting Sarawak ialah pembangunan semula sekolah usang secara menyeluruh melalui program Bayaran Pendahuluan RM1 bilion.
”Sehingga kini, kami telah berjaya menyiapkan 58 projek, memastikan kira-kira 10,000 pelajar mendapat akses kepada kemudahan pembelajaran yang berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Dalam perkembangan sama, Roland Sagah memberitahu Sarawak juga telah membangunkan semula tiga sekolah melalui inisiatif Projek Rakyat manakala 28 sekolah lagi di bawah Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA).
Usaha itu menurutnya, telah memberi manfaat secara langsung kepada hampir 9,000 pelajar.
Pada 22 Jun lalu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan Projek Bayaran Pendahuluan RM100 juta untuk menangani sekolah-sekolah daif di seluruh negeri ini.
Menurut Roland, projek tersebut menyasarkan 16 sekolah yang dikenal pasti oleh kementeriannya, JKR Sarawak dan JPNS dengan memberi fokus kepada sekolah yang dikategorikan sebagai tidak selamat (Skala 6 dan 7) dengan tempoh pelaksanaan 18 bulan.
Menjelas lanjut, beliau berkata Sarawak juga menerima tambahan RM50 juta pada Julai 2024 dari KPM untuk operasi, penyelenggaraan dan naik taraf di 217 sekolah.
“Namun, saya ingin menegaskan bahawa RM50 juta yang disalurkan melalui KPM kepada JKR Sarawak bukan sebahagian daripada peruntukan RM100 juta.
”Skop kerja untuk dana RM50 juta ini hanya melibatkan penyelenggaraan dan naik taraf kecil, bukannya pembangunan semula sekolah daif,” jelasnya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA