PETRA JAYA: Seluas lebih kurang 1,168,123 hektar atau 2,886,432 ekar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) telah berjaya diukur secara perimeter melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu yang telah dijalankan dari 2010 sehingga 31 Oktober 2024.
Timbalan Premier, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, daripada jumlah itu, seluas lebih kurang 924,596 hektar atau 2,284,677 ekar telah pun diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
Kerja-kerja pengukuran ini adalah berdasarkan permohonan daripada pihak yang terlibat.
“Sejak 2017, fokus pengukuran juga ditumpukan kepada pengukuran lot-lot individu bagi pengeluaran surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak untuk kawasan yang telah diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak berdasarkan permohonan dan kesediaan penuntut-penuntut tanah tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Mesyuarat Kedua Bagi Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-19, hari ini.
Katanya lagi, sehingga 31 Oktober 2024, sebanyak 93,222 lot individu telah berjaya diukur yang melibatkan kawasan seluas 112,021 hektar atau 276,804 ekar yang telah dan akan dikeluarkan surat hak milik tanah di bawah seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
‘Bagi mempercepatkan pengukuran lot individu tanah NCR ini, penuntut tanah hendaklah hadir semasa pengukuran di lapangan, menanda sempadan tanah mereka dengan jelas dan mengelak pertikaian dalam membuat tuntutan agar pengukuran berjalan dengan lebih lancar,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan kelangsungan program ini dan akan terus menyediakan dana yang diperlukan di samping dana yang diterima daripada Kerajaan Persekutuan.
Oleh Nur Ain Otsman