KUCHING: Mahkamah Sesyen Kuching baru-baru ini menjatuhkan denda RM14,300 setiap seorang terhadap dua lelaki warga China dan Taiwan selepas mereka mengaku bersalah mengambil serta membawa keluar spesimen tumbuhan liar dan tumbuhan terlindung dari Taman Negara Santubong.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26(c) dan 26(f) Ordinan Taman Negara dan Rizab Semulajadi 1998 serta Seksyen 30(2) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
Pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Iris Awen Jon, dengan kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan bersalah.
Selepas menjelaskan denda, kedua-dua tertuduh dibebaskan.
Pengawal Taman Negara dan Rizab Semulajadi Sarawak serta Pengawal Hidupan Liar Sarawak, Abang Arabi Abang Aimran, memberi amaran bahawa semua pelancong dan pelawat yang memasuki kawasan terlindung sepenuhnya (TPA) di Sarawak wajib mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau menegaskan bahawa tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar peraturan, khususnya berkaitan pemilikan atau pengambilan spesimen flora dan fauna tanpa kebenaran.
Menurutnya, kes berkenaan menjadi pengajaran bahawa pemeliharaan biodiversiti merupakan tanggungjawab bersama.
Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) akan terus memperkukuh penguatkuasaan dan meningkatkan kesedaran awam bagi melindungi khazanah semula jadi Sarawak.





