KUCHING, 12 Oktober: Polis menahan tiga individu dan merampas dadah disyaki bernilai RM7,310 dalam dua operasi berasingan di Kuching pada 11 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, operasi pertama dijalankan sekitar 1.20 petang di Kampung Bintawa Hilir, Petra Jaya, dengan penahanan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun.
Pemeriksaan terhadap suspek dan rumahnya menemukan 5.40 gram dadah disyaki jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM590.

Ujian saringan awal air kencing terhadap suspek turut mendapati dia positif amphetamine dan methamphetamine. Semakan polis mendapati lelaki itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Dalam operasi kedua kira-kira 5.00 petang di Jalan Tun Jugah, polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 23 tahun.
Pemeriksaan membawa kepada penemuan 35 mililiter cecair disyaki ganja yang dianggarkan bernilai RM6,720.
Kedua-dua suspek didapati negatif dadah melalui ujian saringan awal air kencing dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau, katanya.
Ketiga-tiga suspek direman selama dua hari, dari 13 hingga 14 Oktober, bagi membantu siasatan.
Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan antara tiga hingga sembilan kali.
Alexson berkata, kejayaan tangkapan itu hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam, sambil menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan dadah.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah melalui talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-208 7222 atau hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di 017-592 9211.
Oleh Connie Chieng




