PADAWAN: Dua pelajar berusia 15 tahun ditahan manakala dua buah motosikal disita dalam Operasi Khas Motosikal (Op Samseng Jalanan) yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) IPD Padawan di Jalan Mambong, Kampung Sikog dan Kampung Sariq pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William, berkata operasi yang berlangsung dari 4.30 petang hingga 9.00 malam itu bertujuan membanteras kegiatan lumba haram serta tunggangan melulu yang mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
“Sepanjang operasi, polis memeriksa enam buah motosikal dan lapan lelaki. Sebanyak lima saman trafik dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memakai topi keledar, motosikal tiada cermin sisi dan menunggang tanpa lesen memandu yang sah,” katanya.
Menurut Barry, dua buah motosikal turut disita mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana ditunggang secara melulu dan berbahaya.
Beliau berkata kedua-dua suspek yang berusia 15 tahun dan berasal dari Kampung Mambong ditahan di hadapan Kampung Sikog kira-kira 5.48 petang selepas didapati menunggang dengan laju sambil beberapa kali menundukkan kepala rapat ke odometer motosikal di Jalan Mambong-Sikog.
“Tindakan mereka bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain. Kedua-dua suspek ditahan dalam keadaan baik dan kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Barry berkata operasi berakhir tanpa sebarang kejadian tidak diingini dan berjalan dengan lancar serta terkawal.





