TATAU: Perjalanan dari Pekan Tatau menuju ke Rumah Danggat Sungai Kana menjadi tragedi apabila dua mangsa rentung dalam sebuah kereta yang terbabas lantas melanggar tembok di tepi jalan dalam kemalangan lalu terbakar di kilometer 30, Jalan Sangan-Merit pada petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Tatau DSP Dennis Bunyam berkata, dua mangsa terbabit dikenali sebagai Nelson Kana Meliu, 32 (pemandu) dan Ginol Sanyu, 47 (penumpang).
“Hasil siasatan awal yang dijalankan mendapati kedua-dua mangsa terperangkap dalam kenderaan yang digunakan sehingga menyebabkan mangsa mati rentung di dalamnya,” katanya ketika dihubungi oleh pihak media, semalam.
Menurutnya, turut berada di lokasi kejadian bagi operasi menyelamat itu adalah anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau.
“Kejadian berlaku sekitar 6.00 petang yang mana kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari arah Pekan Tatau menuju ke Rumah Danggat Sungai Kana sebelum kenderaan terbabit hilang kawalan lalu terbabas serta terlanggar tembok batu pada bahagian kanan jalan dan seterusnya terbakar,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Rumah Mayat Hospital Bintulu untuk bedah siasat.
“Pasukan polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengetahui punca sebenar membawa kepada berlakunya kemalangan yang meragut nyawa mangsa,” katanya.
Jelasnya, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.