

LAWAS: Sepasukan polis telah menahan sebuah kereta dan seorang lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai buruh dalam keadaan mencurigakan serta disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan, memaklumkan bahawa tangkapan pertama dilakukan pada petang semalam di tepi Jalan Lawas–Damit, Lawas.
“Pemeriksaan badan menemui satu kotak rokok yang mengandungi dua keratan tiub straw berisi hablur kristal yang disyaki dadah jenis syabu.
“Pemeriksaan ke atas kereta bagaimanapun tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Suspek ditahan dan barang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.60 gram dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis Amp & Meth. Semakan kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai 2 kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut seksyen 12(2) ADB 1952 dan seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sementara itu, pada 9 Jun 2026 kira-kira 3.15 petang, sepasukan polis telah menahan sebuah kereta yang dinaiki seorang lelaki tempatan kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah.
Pemeriksaan lanjut terhadap badan dan kenderaan bagaimanapun tidak menemui sebarang barang salah atau dadah. Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Semakan rekod kesalahan lampau mendapati suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan berkaitan dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus