
LUBOK ANTU: Dua lelaki tempatan berusia antara 39 hingga 53 tahun ditahan pasukan polis daripada Pasukan Petugas Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu di kawasan Engkilili, semalam.
Menurut kenyataan media IPD Lubok Antu, kedua-dua suspek ditahan dalam satu operasi yang dijalankan hasil risikan dan pemantauan berterusan pihak polis di kawasan berkenaan.
Semasa pemeriksaan dijalankan, salah seorang suspek telah menyerahkan satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 0.37 gram kepada pasukan serbuan.
Pihak polis kemudiannya merampas bahan berkenaan untuk siasatan lanjut, dan kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan dadah berbahaya.
Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif daripada pengambilan dadah.
Siasatan lanjut turut mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap penglibatannya dalam kegiatan berkenaan.
IPD Lubok Antu menegaskan akan terus mempergiatkan operasi membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah secara berterusan di daerah itu bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman