Dua kucing mati, seekor terselamat dalam kebakaran bengkel kereta

Facebook
WhatsApp
DISELAMATKAN... Seekor kucing peliharaan berjaya diselamatkan dalam kebakaran sebuah bengkel kereta di Lutong, Miri, awal pagi tadi.

MIRI, 7 November: Kebakaran sebuah bengkel kereta di Lutong di sini awal pagi tadi mengundang kesedihan apabila dua ekor kucing peliharaan ditemukan mati selepas dipercayai terperangkap di dalam premis, manakala seekor lagi berjaya diselamatkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Henry Ana Jugah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian di KT Car Lutong pada 2.18 pagi.

Menurutnya, sepasukan lima anggota tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati kebakaran melibatkan kira-kira 10 peratus daripada keseluruhan keluasan bengkel berukuran 25 x 20 kaki.

DISELAMATKAN… Seekor kucing peliharaan berjaya diselamatkan dalam kebakaran sebuah bengkel kereta di Lutong, Miri, awal pagi tadi.

“Sebelum ketibaan bomba, kakitangan stesen minyak Petronas Lutong dengan bantuan orang awam telah berusaha memadamkan api di bahagian luar premis menggunakan sembilan unit alat pemadam api,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, dua ekor kucing peliharaan pemilik bengkel ditemukan mati, dipercayai akibat terperangkap dalam premis yang dipenuhi asap, manakala seekor lagi berjaya diselamatkan.

Pasukan bomba menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan satu pancutan air bagi memadamkan kebakaran sepenuhnya.

Kebakaran berjaya dikawal pada 3.00 pagi sebelum operasi ditamatkan pada 3.26 pagi.

Oleh Liong Chai Ling