
MIRI: Seorang wanita dan seorang lelaki warga emas maut dalam dua kemalangan jalan raya berasingan yang berlaku malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu dalam kenyataan malam tadi memaklumkan, dalam kejadian pertama, seorang wanita berusia 36 tahun yang merupakan pembonceng basikal maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pada 8.20 malam.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 40 tahun melanggar sebuah basikal yang ditunggang oleh lelaki tempatan berusia 43 tahun.
“Wanita berusia 36 tahun yang membonceng basikal itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia pada 12.25 tengah malam Rabu semasa menerima rawatan di Hospital Miri,” katanya.
Dalam kejadian kedua yang berlaku di Kilometer 883 Lebuh Raya Pan Borneo, laluan Bintulu-Miri pada 8.47 malam, seorang pembonceng motosikal warga emas turut maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta.
“Ketika kejadian, sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dipercayai telah melanggar motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki warga asing berusia 34 tahun bersama pembonceng warga asing berusia 63 tahun,” jelas Alexson.
Akibat pelanggaran itu, mangsa berusia 63 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu kereta, bagaimanapun, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Susulan kedua-dua insiden, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Oleh Liong Chai Ling