KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak memerlukan dana yang mencukupi untuk penyelenggaraan balai bomba, peralatan dan aset, serta pelaksanaan program komuniti.
Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata beliau berusaha untuk menemui Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming bagi membincangkan masalah itu.
“Oleh itu saya akan menjadualkan pertemuan dengan Nga untuk membincangkan dana yang boleh disalurkan kepada Bomba Sarawak,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata demikian ketika berucap merasmikan pelancaran Pusat Komuniti (CLC) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak di Batu Lintang di sini, hari ini.
Dr Sim berkata, jabatan bomba di negeri ini mengalami masalah kekurangan sumber yang teruk sehingga menyukarkan jabatan itu menambah dan menyelenggara aset serta kemudahan seperti pili bomba.
“Saya rasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak sebenarnya melakukan kerja yang hebat di bawah pimpinan Pengarah Bomba Sarawak, Datu Khirudin Drahman.
“Walaupun kekurangan sumber yang teruk, mereka sebenarnya telah mengambil inisiatif untuk melakukan di luar jangkaan,” katanya.
Beliau juga memuji Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dan Yayasan Farley atas inisiatif mereka untuk mendidik kanak-kanak memgenai keselamatan dan pencegahan kebakaran.
“Kanak-kanak bukan sahaja seronok, malah mereka juga boleh belajar apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kebakaran.
“Saya percaya lebih mudah untuk mengajar anak-anak kecil kerana mereka akan pulang ke rumah dan berkongsi dengan ibu bapa mereka mengenai perkara itu,” katanya.
Sementara itu, CLC yang baru diubah suai, pusat pertama bagi bomba di Sarawak, ditubuhkan khas untuk komuniti, kanak-kanak dan pelajar yang ingin mengetahui lebih lanjut keselamatan kebakaran dan memadam kebakaran.
Pusat ini boleh menampung kira-kira 3,000 pelajar, 200 guru, dan 100 kakitangan sokongan.
Turut hadir Pengarah Bomba Sarawak, Datu Khirudin Drahman dan Presiden Yayasan Farley, Eijing Lau.
Oleh NICKELYSON LAKUN
Keterangan gambar
Album… Dr Sim dan Datu Khirudin bergambar bersama kanak-kanak pada program pelancaran Pusat Pembelajaran Awam Jabatan Bomba Negeri Sarawak di Balai Bomba Batu Lintang, Kuching hari ini. Gambar Herriey Naha.