SIBU: I Gusti Ngurah Diva Ismayana dari Indonesia muncul juara dalam kategori Motocross Open MX1 Cabaran Motocross Sibu Jaya 2024 berakhir di sini, kelmarin.
Di tempat kedua dan ketiga ialah Witsarut Salangam dari Thailand dan Fikram dari Indonesia.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan dalam acara dua hari anjuran Kelab Sukan Permotoran Ekstrim GP Sibu Jaya di Litar Motocross Sibu Jaya di sini.
Bagi kategori MX Open, Steward Juhes (Kuching) memenangi tempat pertama, diikuti Kee Shi Wen (Kuching) dan Canny Norick Cayus (Sabah).
Kategori Motocross Veteran Open pula menyaksikan Hj Idzam dari Brunei sebagai juara, diikuti oleh Poi Chie Weng (Kuching) dan Joseph Woon (Sabah).
Bagi kategori Motocross Novice, Max Baker (Kuching) muncul juara, manakala Baynision Gary (Kuching) dan Mohd Najmi Rosdin (Sibu) masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Kategori MX 150 2 Stroke dimenangi oleh Hj Idzam (Brunei), diikuti Calvin Lim Kok Peng (Kuching) dan Kee Shi Wen (Kuching).
Dalam kategori Cubcross/Minicross, Mohamad Azmi dari Brunei menjadi juara, sementara Leroy Jowit dan Welfred Lanser, kedua-duanya dari Kuching, masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Presiden Persatuan Permotoran Sarawak (SMA), Senator Dato Ahmad Ibrahim, yang turut memuji kejayaan acara ini dalam menyemarakkan semangat persaingan sihat serta mengukuhkan hubungan antara peserta dari Brunei, Indonesia, Thailand, dan Malaysia.
Beliau juga merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur, termasuk GP Sibu Jaya Extreme Motorsports Club yang telah menganjurkan acara ini selama dua tahun berturut-turut, serta Amcorp Sibu Jaya Sdn Bhd sebagai tuan tanah.
“Kepada semua peserta, anda adalah juara sejati. Kemenangan bukanlah satu-satunya ukuran kejayaan, tetapi semangat juang yang telah ditunjukkan amat membanggakan. Bagi mereka yang tidak berjaya kali ini, jangan berputus asa. Jadikan pengalaman ini sebagai motivasi untuk terus maju,” katanya.
Dato Ahmad turut menghargai sokongan berterusan daripada Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai, serta komuniti setempat terhadap pembangunan sukan permotoran di kawasan tersebut.
“Semoga kita akan terus memperkukuhkan sukan permotoran di Sarawak untuk Malaysia. Saya berharap dapat bertemu anda semua lagi di edisi akan datang,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting