BINTANGOR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Koung Hiing bersama isteri, Datin Kueh Nai Fun telah menghadiri majlis sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di hari ketiga, semalam.
Majlis tersebut diadakan di beberapa lokasi iaitu di Dewan Masyarakat Bintangor, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ming Chiang, SJKC Ming Tee, SJKC Nan Chiew, Village Coffee Shop Nam Kiew dan Rumah Huang Haw Hee di Jalan Su Tak.
Ia merupakan anjuran ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) Daerah Meradong.
Hadir sama ialah Pemanca Yii Hee Sieng, Penghulu Su Song Kuok dan Penghulu Ley Kok Lun.
Koung Hiing berkata, pembangunan infrastruktur untuk menaik taraf prasarana di Daerah Meradong semakin bertambah baik dari masa ke masa.
“Di Meradong, terdapat dua wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Datoʼ Sri Huang Tiong Sii sebagai Ahli Parlimen Sarikei dan saya sebagai ADUN Meradong.
“Jadi, dengan kerjasama erat ini, pembangunan infrastruktur untuk menaik taraf prasarana di Daerah Meradong semakin bertambah baik dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui media.
Katanya, pelbagai pembangunan turut akan dilaksanakan di Daerah Meradong.
“Antaranya adalah Tebingan Sungai Bintangor yang akan dinaik taraf melalui kelulusan kerajaan Sarawak bernilai kira-kira RM41 juta.
“Apabila siap, ia akan memudahkan para pengunjung menjalankan aktiviti tarian, bersukan atau melaksanakan pelbagai program melibatkan masyarakat setempat,” katanya.
Selain itu, katanya, terdapat beberapa projek di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) di Bintangor bukan sahaja mengubah landskap pembangunan tetapi juga taraf hidup penduduk di kawasan ini.
“Beberapa permohonan projek tersebut telah dipohon daripada Datoʼ Sri Huang Tiong Sii di kawasan DUN Meradong iaitu pembinaan laluan alternatif Jalan Kilang menuju ke Jalan utama Sungai Tulai,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek