19 saksi dipanggil bantu siasatan nahas helikopter FDS

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD pada Program Sesi Dialog (Town Hall Discussion) SIRI2/2026 Polis Diraja Malaysia Kontinjen Sarawak di Daerah Lawas.

LAWAS: Polis telah memanggil 19 saksi bagi membantu siasatan kes nahas helikopter Flying Doctor Service (FDS) jenis BO-105 yang terhempas dan mengorbankan lima individu, termasuk empat petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berhampiran Long Lellang, Ulu Baram, Selasa lalu.


Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi kelima-lima mangsa telah diterima daripada Jabatan Kimia pada 6.00 pagi hari ini.


Beliau berkata, semua jenazah mangsa akan diserahkan kepada waris masing-masing selepas proses dokumentasi selesai, selewat-lewatnya petang ini.


“Pada 6.00 pagi hari ini, kita telah menerima semua sampel DNA dengan keputusan yang membolehkan kita menyerahkan kesemua jasad mangsa kepada waris masing-masing.


“Sekarang dalam proses dokumentasi dan kita akan serahkan seberapa segera yang mungkin, selewat-lewatnya pada petang ini.


“Hasil daripada siasatan yang telah kita lakukan, kita telah mengambil seramai 19 orang saksi yang boleh membantu siasatan kita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Sesi Dialog (Town Hall Discussion) SIRI 2/2026 Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di Daerah Lawas, di sebuah hotel di Lawas, hari ini.


Mohamad berkata, pada masa sama, Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) turut menjalankan siasatan berhubung nahas berkenaan.


“Biro Siasatan Kemalangan Udara juga telah memulakan siasatan dan mereka sebelum ini telah mengeluarkan kenyataan bahawa laporan awal akan dikeluarkan selewat-lewatnya dalam tempoh 30 hari,” katanya.


Nahas helikopter FDS itu berlaku pada 3.58 petang Selasa lalu berhampiran Long Lellang, Ulu Baram ketika pesawat terbabit sedang menjalankan tugasan FDS.


Nahas berkenaan mengorbankan lima individu yang berada dalam helikopter tersebut, iaitu juruterbang, Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30; pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33; pembantu perubatan, Alexson Adit Henry, 31; serta jururawat, Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok, 40.