SIMANGGANG: Prestasi ekonomi Sarawak yang terus mencatat pertumbuhan positif membuktikan keupayaan pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) merancang serta mengurus pembangunan negeri secara berterusan demi kepentingan rakyat.
Ahli Parlimen Sri Aman, Dato’ Sri Doris Sophia Brodie berkata, rakyat perlu terus bersatu dan memberikan sokongan kepada GPS yang mempunyai visi, perancangan serta hala tuju jelas dalam memastikan masa depan Sarawak, khususnya dari aspek ekonomi dan sosial, terus terjamin.
Menurut beliau, ekonomi Sarawak kekal kukuh di bawah pentadbiran GPS dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri pada 2025 mencecah RM153.5 bilion, mencatat pertumbuhan sebanyak 3.6 peratus.

“Angka ini menunjukkan ekonomi Sarawak terus berkembang dan berada pada landasan yang kukuh. Ia mencerminkan hasil perancangan serta dasar pembangunan yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan projek menaik taraf ruai Rumah Panjang John Chendang, Sengkuang Ili, Undop, di sini, hari ini.
Projek berkenaan berjaya disiapkan menerusi peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) 2023 berjumlah RM200,000, sekali gus menyediakan kemudahan yang lebih selesa untuk kegunaan penduduk rumah panjang.
Doris turut menzahirkan rasa syukur kerana projek tersebut dapat disempurnakan dan memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam meningkatkan keselesaan serta kesejahteraan penduduk rumah panjang.
Mengulas lanjut, beliau turut menekankan kepentingan perancangan kewangan jangka panjang bagi memastikan kekayaan negeri dapat dimanfaatkan bukan sahaja oleh generasi masa kini, malah turut menjadi asas kepada kesejahteraan generasi akan datang.
Dalam konteks itu, Doris menyentuh mengenai Dana Kekayaan Berdaulat Masa Depan Sarawak, yang dimulakan dengan nilai RM8 bilion pada 2024 dan kini meningkat kepada RM8.6 bilion.
Menurutnya, dana berkenaan merupakan satu bentuk simpanan jangka panjang yang penting bagi memperkukuh kedudukan kewangan Sarawak serta menyediakan sumber strategik untuk masa depan negeri.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat supaya terus memberikan sokongan kepada usaha pembangunan yang dilaksanakan kerajaan negeri, selain mengekalkan perpaduan sebagai asas kepada kestabilan dan kemajuan Sarawak.
Dalam perkembangan lain, Doris turut mengingatkan masyarakat mengenai pentingnya memelihara semangat perpaduan dan keharmonian dalam kalangan penghuni rumah panjang.
Katanya, kawasan Parlimen P.202 Sri Aman mempunyai kira-kira 870 rumah panjang, namun jumlah rumah panjang yang masih mempunyai bilangan pintu yang besar seperti dahulu semakin berkurangan.
Beliau berkata, perselisihan serta perpecahan antara penghuni rumah panjang antara faktor yang menyebabkan sesebuah rumah panjang berpecah, keadaan yang disifatkannya amat menyedihkan.
“Ini amat menyedihkan dan menyayat hati. Sebab itu kita perlu menjaga perpaduan dan keharmonian supaya rumah panjang terus menjadi tempat masyarakat hidup bersama dalam suasana aman dan saling membantu,” katanya.
Turut hadir Penghulu Mingging, 21 orang Tuai Rumah, para Ahli Majlis serta pegawai daripada agensi kerajaan.
Oleh Adi Safarman




