SPAOH: Akses ke kawasan pertanian penduduk Rumah Panjang Nanga Jitu, Anyut kini semakin mudah selepas projek naik taraf jalan ladang sepanjang 1.9 kilometer siap dilaksanakan menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
Kemudahan berkenaan bukan sahaja menyediakan laluan lebih baik kepada penduduk, malah dijangka membantu melancarkan pergerakan keluar masuk ke kawasan pertanian serta memudahkan hasil tanaman dibawa ke pasaran.
Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong itu turut disiapkan lebih awal daripada jadual, dengan kerja-kerja dilaksanakan mengikut spesifikasi dan piawaian yang ditetapkan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penyediaan infrastruktur yang baik ke kawasan pertanian amat penting bagi memudahkan penduduk menguruskan kegiatan ekonomi mereka.
“Kalau jalan ke kawasan pertanian lebih baik, banyak kerja menjadi lebih mudah. Penduduk boleh keluar masuk dengan lebih lancar dan hasil yang sudah diusahakan juga lebih senang dibawa ke luar,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata kemudahan tersebut diharap dapat memberi suntikan semangat kepada penduduk untuk terus mengembangkan aktiviti pertanian.
“Kita mahu kawasan yang ada potensi pertanian terus dimanfaatkan. Dengan kemudahan asas yang lebih baik, saya harap penduduk dapat meningkatkan usaha dan hasil yang boleh memberi pulangan kepada keluarga,” katanya.
Menurut beliau, akses jalan yang lebih baik bukan sekadar memberi keselesaan kepada penduduk, tetapi turut berperanan menyokong perkembangan ekonomi setempat dengan memudahkan pengangkutan hasil pertanian.
Sementara itu, Tuai Rumah Nanga Jitu, Nicholas Semana, melahirkan rasa puas hati terhadap hasil serta kualiti projek yang telah disiapkan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Amar Douglas Uggah dan kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan BDDA bagi merealisasikan projek berkenaan.
Dengan siapnya jalan ladang itu, penduduk kini mempunyai hubungan yang lebih baik antara rumah panjang dengan kawasan pertanian, sekali gus memudahkan urusan harian dan aktiviti ekonomi mereka.
Projek berkenaan dilihat sebagai satu lagi usaha memperkukuh kemudahan asas di kawasan luar bandar, khususnya bagi menyokong sektor pertanian dan meningkatkan kesejahteraan penduduk setempat.
Sesi serah siap projek berlangsung hari ini dengan kehadiran wakil Pejabat Daerah Betong, Kato Dorsie; wakil BDDA, Jordan Evin; wakil JKR Bahagian Betong; wakil Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban serta wakil kontraktor Exquisite Avenue Sdn Bhd.
Oleh Adi Safarman




