MIRI : Lebih 800 perwakilan dan pemerhati menghadiri Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Utara di sebuah hotel di sini semalam.
Ketua Menteri merangkap Yang Di-Pertua Parti PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan konvensyen khas itu.
Konvensyen khas sehari itu dihadiri ahli-ahli parti PBB daripada 17 Cawangan dengan setiap cawangan menghantar 63 perwakilan iaitu 27 orang daripada ahli jawatankuasa cawangan, Pergerakan Pemuda dan Wanita masing-masing menghantar 18 orang, dan kawasan bukan milik parti PBB 15 orang.
Aturcaranya meliputi taklimat pilihan raya untuk petugas pilihan raya parti PBB Sarawak Zon Utara secara tertutup.
Topik yang dibincangkan ialah Pengenalan Jentera Pilihan Raya – Struktur dan Tadbir Urusnya, Peranan dan Tanggungjawab Ejen Parti dalam Pilihan Raya dan Undang-undang serta Peraturan Pilihan Raya.
Sesi itu menyaksikan majlis penutupannya yang disempurnakan Pengerusi Tetap parti PBB, Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar.
Pentadbiran Tanah di Sarawak – Memastikan Hak Rakyat Ke Atas Tanah Terpelihara disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Awang Zamhari Awang Mahmood dan Hala tuju Industri Minyak dan Gas Sarawak oleh Naib Presiden Portfolio dan Perancangan PETROS, Abang Arabi Abang Narudin.
Perkongsian Strategik bertajuk RECODA Pemangkin Pembangunan – Peranan Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) dan Agensi Pembangunan Utara Sarawak (NRDA) oleh Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA), Datu Ismawi Ismuni.
Setelah itu, penerimaan usul yang diutarakan oleh Naib Yang Di-Pertua parti PBB merangkap Menteri Utiliti, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi.
Penyampaian cenderamata kepada Ketua Menteri disampaikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua parti PBB merangkap Timbalan Ketua Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas Parti PBB Sarawak Zon Utara, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Turut hadir Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Tan Sri Dr James Masing dan wakil Parti Demokratik Progresif Sarawak (PDP).
Oleh Adum Liu