Belanjawan 2027: RM3 bilion pacu pembangunan jalan raya Sabah, Sarawak

Facebook
WhatsApp
Foto janaan AI

KUALA LUMPUR, 11 Oktober: Peruntukan RM3.3 bilion bagi meneruskan projek jalan raya di Sabah dan Sarawak di bawah Belanjawan 2027 merupakan langkah positif. Namun, keperluan pembangunan infrastruktur jalan raya di kedua-dua negeri itu jauh lebih besar berikutan keluasan kawasan, keadaan geografi dan kos pembinaan yang tinggi.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Madya Dr. Nur Izzi Md Yusoff berkata kecukupan peruntukan itu perlu dinilai berdasarkan skop projek serta keutamaan pembangunan.

Beliau berkata usaha meningkatkan kesalinghubungan penduduk, khususnya di kawasan pedalaman, turut memerlukan perancangan jangka panjang dan pembiayaan berterusan.

“Cabaran utama pembinaan jalan raya di Sabah dan Sarawak ialah keadaan muka bumi yang berbukit-bukau, tanah lembut, khususnya tanah gambut, taburan hujan yang tinggi serta risiko tanah runtuh dan banjir.

“Berbanding dengan di Semenanjung Malaysia, lokasi pembinaan yang terpencil turut menyukarkan pengangkutan bahan binaan, jentera dan tenaga kerja. Keadaan ini meningkatkan kos pembinaan, menyukarkan kerja penyelenggaraan serta memerlukan penyelesaian kejuruteraan yang lebih kompleks,” katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata penggunaan teknologi penstabilan tanah, geotekstil dan geogrid, selain sistem saliran yang lebih berkesan serta kaedah penstabilan cerun, dapat membantu meningkatkan ketahanan jalan raya dalam menghadapi keadaan cuaca dan geografi setempat.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Kumpulan Penyelidikan Turapan dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Awam Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr. Nordiana Mashros berkata keberkesanan peruntukan itu perlu dinilai bukan sahaja berdasarkan kemajuan fizikal projek, malah prestasi jalan raya selepas dibuka kepada pengguna.

“Antara perkara yang boleh dinilai ialah perubahan masa perjalanan, tahap keselamatan, kelancaran dan kebolehpercayaan perjalanan serta kemudahan akses antara kawasan, pusat ekonomi dan perkhidmatan asas.

“Keutamaan perlu diberikan kepada pelaksanaan projek mengikut perancangan, dengan pemantauan berterusan terhadap kemajuan kerja, kos dan kualiti pembinaan,” katanya.

Menurut Nordiana, aspek sistem saliran, kestabilan cerun, kualiti turapan dan ciri keselamatan jalan perlu diberikan perhatian bagi memastikan infrastruktur yang dibangunkan dapat berfungsi dengan baik dan selamat dalam jangka panjang.

Beliau berkata penilaian selepas projek mula beroperasi juga penting bagi mengenal pasti sama ada objektif pembangunan jalan raya tercapai, sekali gus memastikan manfaatnya benar-benar dirasai penduduk. – Bernama