KUCHING, 11 Oktober: Penyelarasan perancangan dan keperluan teknikal terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan projek pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar Fasa 2 dapat mengambil kira keperluan masyarakat serta peranan kemudahan itu sebagai pusat penganjuran pelbagai program di Sri Aman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, penyelarasan menyeluruh antara agensi berkaitan amat penting bagi memperkemas perancangan projek dan memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan teratur.
Menurut beliau, pembangunan dewan berkenaan perlu dirancang dengan teliti supaya kemudahan itu dapat memenuhi keperluan setempat, khususnya bagi penganjuran seminar, persidangan, acara rasmi dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
“Penyelarasan yang menyeluruh amat penting bagi memastikan perancangan dewan ini mengambil kira keperluan setempat serta fungsinya sebagai kemudahan untuk penganjuran seminar, persidangan, acara rasmi dan aktiviti kemasyarakatan di Sri Aman,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek Pembinaan Dewan Simposium Batang Lupar Fasa 2 bersama pegawai Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta pihak perunding di Ibu Pejabat JKR Sarawak, kelmarin.
Dayang Noorazah berkata, perhatian berterusan terhadap pembangunan kemudahan itu penting bagi menyediakan ruang yang lebih sesuai untuk pelaksanaan program berskala besar, selain membuka peluang kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi setempat.
“Kewujudan kemudahan tersebut dijangka dapat menyokong pelbagai kegiatan yang melibatkan masyarakat, agensi kerajaan, pertubuhan dan pihak berkepentingan, sekali gus memperluas penggunaan ruang bagi penganjuran acara di Sri Aman,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SADA, JKR, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak serta pihak perunding atas komitmen, sumbangan input teknikal dan kerjasama dalam memperkukuh perancangan projek berkenaan.
“Kerjasama antara semua pihak itu penting bagi memastikan aspek perancangan dan keperluan teknikal diberikan perhatian sewajarnya dalam usaha merealisasikan pembangunan Dewan Simposium Batang Lupar Fasa 2 untuk manfaat masyarakat setempat,” tambah Dayang Noorazah.
Oleh Adi Safarman





