KUCHING, 11 Oktober: Seramai 150 penerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak menerima sumbangan tunai RM100 seorang berserta hamper sempena sambutan hari lahir ke-80 Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, di sebuah hotel terkemuka, hari ini.
Penerima terdiri daripada 26 lelaki dan 124 wanita, merangkumi golongan warga emas, ibu tunggal serta kanak-kanak.

Sumbangan wang tunai sumbangan daripada Astana Negeri Sarawak, manakala hamper turut disediakan untuk penerima.
Penyerahan sumbangan berlangsung semasa Majlis Jamuan Teh yang turut menyaksikan acara memotong pulut kuning oleh Tun Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, sebagai simbolik sambutan hari lahir beliau.
Majlis turut menampilkan tayangan video khas bertajuk Bukan Sekadar Seorang Pemimpin yang memaparkan sisi peribadi Tun Wan Junaidi sebagai ketua keluarga dan pemimpin.


Antara pengisian lain, persembahan tarian Dirgahayu Kesuma Tuan Yang Terutama oleh Artis Tari Majlis Seni Sarawak, petikan alat muzik sape oleh Frederick serta persembahan nyanyian oleh Abang Hafidz, Mieysanisha dan Bob Yusof dengan iringan Star Fourpiece Band.
Majlis turut diserikan dengan nyanyian beramai-ramai bersama barisan menteri sebelum diakhiri dengan lagu Negaraku dan Ibu Pertiwiku oleh Pancaragam Polis Diraja Malaysia.

Dalam majlis sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Menteri Bertanggungjawab Mengelola Sambutan, Dato Sri Julaihi Narawi menyampaikan cenderahati kepada Tun Wan Junaidi dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menyampaikan cenderahati kepada Toh Puan Fauziah dan anakanda Premier Sarawak, Dayang Norjihan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.





