Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Diallo jadi wira minit akhir, Ivory Coast tewaskan Ecuador 1-0
  • SUKAN

Diallo jadi wira minit akhir, Ivory Coast tewaskan Ecuador 1-0

Utusan Sarawak 4 hours ago
PENYERANG Ivory Coast, #15 Amad Diallo, meraikan kemenangan selepas perlawanan Kumpulan E Piala Dunia 2026 antara Ivory Coast dan Ecuador di Stadium Philadelphia, Philadelphia, pada 14 Jun 2026. Foto AFP

PHILADELPHIA: Pemain sayap Ivory Coast, Amad Diallo, menjaringkan gol pada minit ke-90 untuk membantu pasukannya menundukkan Ecuador 1-0 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E Piala Dunia 2026, sebentar tadi.

Perlawanan itu dilihat bakal berakhir tanpa jaringan, sesuatu yang tidak mengejutkan memandangkan rekod pertahanan cemerlang Ecuador sepanjang kempen kelayakan, dan keputusan seri mungkin memadai buat kedua-dua pasukan.

Bagaimanapun, Diallo yang berusia 23 tahun, yang dimasukkan menggantikan Bazoumana Toure sejurus sebelum sejam permainan, memusnahkan harapan Ecuador apabila menyempurnakan hantaran lintang dari sebelah kanan dengan sentuhan pertama tepat ketika perlawanan menghampiri masa kecederaan.

Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Ivory Coast di pentas Piala Dunia dalam tempoh 12 tahun sejak menewaskan Jepun pada kejohanan di Brazil pada 2014, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka untuk melangkah ke pusingan kalah mati buat kali pertama dalam sejarah penyertaan negara itu.

PENYERANG Ecuador, #11 Kevin Rodríguez, menanduk bola semasa perlawanan Kumpulan E Piala Dunia 2026 antara Ivory Coast dan Ecuador di Stadium Philadelphia, Philadelphia, pada 14 Jun 2026. Foto AFP

Kekalahan tersebut menjadi permulaan yang mengecewakan buat Ecuador yang mendapat sokongan majoriti daripada 68,274 penonton di Stadium Philadelphia yang dipenuhi penyokong berbaju kuning.

Ecuador hampir mendahului apabila dua percubaan mereka terkena palang pada babak pertama menerusi John Yeboah dan Alan Minda, manakala penyerang Ivory Coast, Elye Wahi, turut menyaksikan percubaannya mengenai palang selepas rehat.

Juara Afrika 2024 itu kini berpeluang meneruskan momentum apabila berdepan Jerman dalam aksi kedua Kumpulan E di Toronto pada Sabtu.

Ecuador pula akan berusaha bangkit apabila menentang Curacao di Kansas City pada hari yang sama. Curacao yang membuat penampilan sulung di Piala Dunia sebelum ini dibelasah Jerman 7-1 di Houston.

Di bawah bimbingan jurulatih Argentina, Sebastian Beccacece, Ecuador hadir ke kejohanan itu dengan reputasi mengagumkan selepas menamatkan kempen kelayakan Zon Amerika Selatan di tempat kedua di belakang Argentina.

ELYE Wahi #12 dari Côte d’Ivoire beraksi menentang Willian Pacho #6 dari Ecuador semasa perlawanan Kumpulan E Piala Dunia FIFA 2026 antara Côte d’Ivoire dan Ecuador di Stadium Philadelphia pada 14 Jun 2026 di Philadelphia, Pennsylvania. Foto AFP

Dengan benteng pertahanan diketuai Willian Pacho dan bahagian tengah dikemudi Moises Caicedo, Ecuador hanya melepaskan lima gol dalam 18 perlawanan kelayakan, namun sekadar menjaringkan 14 gol.

Menariknya, lapan daripada 18 perlawanan mereka berakhir tanpa jaringan, manakala enam lagi menyaksikan hanya satu gol dijaringkan.

Jay-Z turut hadir

Ivory Coast bagaimanapun yakin mampu memberi masalah kepada lawan menerusi pemain muda berbakat, Yan Diomande, yang lincah di bahagian sayap, serta Elye Wahi yang mengetuai jentera serangan.

Perlawanan yang turut disaksikan ikon rap Amerika Syarikat, Jay-Z, itu pada awalnya berlangsung berhati-hati sebelum menjadi lebih rancak pada pertengahan babak pertama.

IKON rap Jay-Z menerima sehelai jersi yang disampaikan oleh Presiden Persekutuan Bola Sepak Côte d’Ivoire, Yacine Idriss Diallo, sebelum perlawanan Kumpulan E Piala Dunia FIFA 2026 antara Côte d’Ivoire dan Ecuador di Stadium Philadelphia pada 14 Jun 2026 di Philadelphia, Pennsylvania. Foto AFP

John Yeboah, bekas pemain muda Jerman yang kini beraksi bersama kelab Itali, Venezia, hampir membuka jaringan apabila melepaskan rembatan yang terkena palang hasil kesilapan pertahanan Ivory Coast.

Pasukan Afrika itu terus bernasib baik apabila Ecuador sekali lagi terkena palang pada minit ke-30 menerusi Alan Minda selepas menerima hantaran Pedro Vite.

Anak buah Emerse Fae turut mencipta beberapa peluang berbahaya, termasuk apabila Nicolas Pepe dinafikan pada saat akhir selepas Yan Diomande berjaya melepasi Piero Hincapie.

Ivory Coast yang tidak pernah melepasi peringkat kumpulan dalam tiga penampilan terdahulu di Piala Dunia sedar bahawa kemenangan dalam perlawanan tersebut amat penting bagi membuka laluan ke pusingan seterusnya.

Selepas rehat, Elye Wahi hampir meletakkan pasukannya di hadapan apabila percubaannya hasil hantaran lintang Diomande terkena palang.

Seko Fofana kemudian memaksa penjaga gol Ecuador, Hernan Galindez, melakukan satu lagi penyelamatan penting.

Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir tanpa jaringan, drama tercetus pada penghujung aksi.

Wilfried Singo melakukan larian pantas dari bahagian pertahanan di sebelah kanan sebelum menghantar bola rendah ke dalam kotak penalti yang disudahkan Diallo dengan tenang untuk menewaskan Galindez dan membisukan ribuan penyokong Ecuador. – AFP

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: Piala Dunia: Yamal mula di bangku simpanan
Next: Sweden belasahTunisia 5-1, kuasai Kumpulan F Piala Dunia

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.