SKS 2026 di Sri Aman sasar 100,000 pengunjung

Facebook
WhatsApp
DATU Hii Chang Kee selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program SKS di Sri Aman. Foto UKAS

SIMANGGANG, 27 Oktober: Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Zon Selatan Bahagian Sri Aman menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya dari 30 Oktober hingga 1 November ini.

Bertempat di Padang Kompleks Sukan Sri Aman, program itu menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, perkhidmatan kepada rakyat serta hadiah cabutan bertuah, termasuk sebuah kereta Perodua Bezza.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program SKS, Datu Hii Chang Kee berkata, pelbagai pengisian telah dirancang bagi memastikan program itu menjadi tumpuan masyarakat setempat dan pengunjung dari kawasan sekitar.

Antara tarikan utama ialah pameran, kaunter perkhidmatan, cabutan bertuah e-Peraduan, Sri Aman Kitchen and Sales, konsert rakyat serta Malam Budaya Sarawak.

Pengunjung turut berpeluang menyertai Program Berjalan Santai berbusana tradisional selain menikmati pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan sukan yang disediakan sepanjang program berlangsung.

Lebih menarik, cabutan bertuah menawarkan pelbagai hadiah termasuk motosikal, barangan elektrik dan barangan kemas selain kereta Perodua Bezza.

Hii berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Bahagian Program SKS di Sri Aman, semalam.

Bertemakan ‘Jaga Sarawak-Intu Sarawak’, program berkenaan bakal disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada Sabtu ini.

Orang ramai, khususnya penduduk Bahagian Sri Aman dan kawasan sekitarnya, dialu-alukan hadir untuk mendapatkan manfaat daripada pelbagai perkhidmatan yang ditawarkan, di samping menikmati aktiviti hiburan, kebudayaan dan kemasyarakatan.

Dengan sasaran 100,000 pengunjung serta pelbagai tarikan disediakan, SKS 2026 dijangka menjadi antara acara utama yang menghimpunkan masyarakat di Sri Aman hujung minggu ini.

Oleh Adi Safarman