


KUALA LUMPUR: Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) akan membawakan sebuah pementasan unik yang menggabungkan warisan tradisional Malaysia dengan karya klasik Barat bertajuk “Mak Yong Shakespeare: The Comedy Of Errors – An Adaptation” pada 25 Julai ini.
Persembahan yang dijadualkan berlangsung pada 8.00 malam itu merupakan sebahagian daripada inisiatif DFP bersama-sama dengan Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA bagi meluaskan apresiasi terhadap seni dan budaya tempatan dalam menyokong usaha pemeliharaan warisan negara.

Pementasan arahan Norzizi Zulkifli itu menggabungkan teater tradisional makyung yang diiktiraf sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan oleh UNESCO dengan naskhah komedi William Shakespeare, The Comedy of Errors.
“Kita berharap penonton yang mungkin tidak membaca naskhah Shakespeare, meninggalkan dewan pementasan seolah-olah mereka telah membaca karya itu,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Menurut Norzizi, beliau memilih karya itu kerana mempunyai persamaan dengan cerita tradisional makyung, sekali gus memudahkan proses menggabungkan kedua-dua bentuk teater tanpa menjejaskan identiti asal seni warisan Malaysia itu.

Katanya pendekatan itu juga membolehkan penonton merasai keunikan kedua-dua budaya dalam satu persembahan.
“Saya mahu penonton masih dapat merasakan identiti makyung tetapi pada masa sama turut merasai elemen Shakespeare. Biarlah kedua-duanya hadir dalam satu persembahan kerana itulah konsep teater rentas budaya yang ingin diketengahkan,” katanya.
Pada masa sama, jalan cerita adaptasi karya Shakespeare hasil terjemahan Fasyali Fadzly itu masih mengekalkan struktur asas makyung yang menampilkan elemen tarian, muzik, nyanyian dan improvisasi dialog.
Persembahan itu turut menggunakan gabungan bahasa Melayu dan Inggeris bagi memperluas capaian penonton daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk generasi muda serta penonton antarabangsa.


Naskhah The Comedy of Errors yang ditulis sekitar 1592 hingga 1594 dan diinspirasikan daripada karya penulis Rom purba Plautus mengisahkan sebuah keluarga yang terpisah akibat ribut di laut sebelum pelbagai insiden lucu tercetus susulan kekeliruan identiti melibatkan pasangan kembar seiras.
Pementasan itu dibintangi Mhia Farhana Firdaus, Rosdeen Suboh, Asrulfaizal Kamaruzaman, Salsabila Sofian, Issey, Shahkimin, Ismadian, JZ Jasli dan Ain Sufia, selain penampilan khas Vanidah Imran serta Norzizi sendiri.
Norzizi sebelum ini pernah menghasilkan beberapa karya yang menggabungkan seni persembahan tradisional dengan naskhah Shakespeare termasuk Mak Yong Titis Sakti yang diadaptasi daripada A Midsummer Night’s Dream, Throne of Thorns yang diinspirasikan daripada The Tempest serta Randai Macbeth pada 2024.
Bersempena dengan pementasan itu, DFP turut menganjurkan bengkel makyung pada 10.00 pagi, 25 Julai di lokasi sama dengan harga RM50, manakala tiket pementasan pula dijual pada harga RM69 hingga RM249.- Bernama