PETRA JAYA: Delegasi Perkhidmatan Awam Sarawak akan ke Jepun dan Sri Lanka pada November dan Disember ini untuk bertukar ilmu dan mengasah kemahiran demi menempatkan inovasi sektor awam di peringkat global.
Majlis penyerahan bendera kepada delegasi telah disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki sebagai simbol semangat serta sokongan kepada misi mereka.
Menurut satu kenyataan, delegasi pertama yang diketuai Pengarah Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU), Superi Awang Said, akan menghadiri Konvensyen Antarabangsa mengenai Kumpulan Kawalan Kualiti (ICQCC) di Colombo, Sri Lanka pada 11 hingga 14 November ini.
“Program tahunan ini bakal menghimpunkan para profesional inovasi global, memberi peluang kepada Sarawak untuk bersaing serta berkongsi pengetahuan mengenai peningkatan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam.
“Empat kumpulan Kreatif dan Inovatif (KIK) yang pernah memenangi Anugerah Inovasi SCSICA 2023 telah dipilih mewakili Sarawak di ICQCC 2024.
“Kumpulan-kumpulan tersebut ialah LANDS TAHAI Q dari Jabatan Tanah dan Survei Limbang, EAGLE dari Majlis Perbandaran Sibu, IPOK dari Pejabat Residen Mukah, serta TECHSKAP dari Lembaga Kemajuan Bintulu,” katanya.
Katanya, delegasi kedua pula akan berlepas ke Jepun pada 1 hingga 6 Disember untuk lawatan penanda aras inovasi, bagi mendapatkan pendedahan mengenai kaedah peningkatan kualiti dan teknologi penyampaian perkhidmatan awam.
Dalam pada itu, seramai 19 pegawai yang menyertai rombongan ini adalah penerima anugerah dalam ICQCC 2022 di Jakarta, termasuk kumpulan SIRIUS PRIME, SASSOKU TECH, dan INNOTECH Q9.
Superi yang juga Ketua Jawatankuasa bagi kedua-dua rombongan ini berkata, misi ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan awam.
“Ini adalah peluang bagi kita untuk belajar dari pakar antarabangsa serta mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh ke arah transformasi sektor awam kita.
“Saya berharap delegasi ini dapat membawa pulang ilmu serta inspirasi yang berharga untuk diterapkan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.