LONDON, 7 November: Pengurus Tottenham, Roberto De Zerbi, bertekad untuk merealisasikan hasrat Ketua Pegawai Eksekutif kelab itu, Vinai Venkatesham, yang menyasarkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sebagai matlamat jangka panjang pasukan berkenaan.
Kenyataan Venkatesham mengenai sasaran menjulang gelaran itu dalam satu temu bual minggu ini bagaimanapun mengundang ejekan daripada penyokong pasukan lawan.
Tottenham, yang berpangkalan di utara London, belum pernah menjuarai liga utama England sejak 1961 dan hampir tersingkir daripada liga itu pada hari terakhir musim lalu.
Kelab itu menamatkan saingan di tangga ke-17 dalam dua musim terakhir dan kini menduduki tempat kesembilan liga utama selepas bangkit daripada permulaan musim yang hambar.
Tottenham ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu liga, Arsenal, menjelang pertemuan dengan Leeds.
Mengulas kenyataan optimis Venkatesham itu, De Zerbi berkata beliau menyambut baik keyakinan ketua eksekutif berkenaan terhadap potensi kejayaan kelab.
“Amat menggembirakan apabila mendengar kenyataan Vinai. Saya fikir perkara utama bagi mereka yang mahu kekal dan bekerja di kelab ini adalah mempunyai cita-cita. Namun, cita-cita itu perlu dibuktikan,” katanya.
“Anda perlu menunjukkan mentaliti yang betul setiap hari, perlawanan demi perlawanan kerana kata-kata semata-mata tidak mencukupi.
“Apa yang dilakukan oleh Vinai, keluarga Lewis dan Johan Lange adalah sesuatu yang istimewa kerana dalam tempoh dua musim lalu, saya fikir semua orang dapat melihat mereka sedang melakukan banyak perubahan di kelab ini.
“Sebagai jurulatih, saya bersama barisan kejurulatihan dan pemain perlu menunjukkan prestasi terbaik untuk terus kekal di kelab ini.”
Perbelanjaan besar Tottenham dalam jendela perpindahan pemain bagi mendapatkan Sandro Tonali, Mateus Fernandes dan beberapa pemain baharu lain sebelum ini menyemarakkan harapan kelab itu untuk mencatat musim yang cemerlang.
Bagaimanapun, pasukan kendalian De Zerbi gagal meraih kemenangan dalam enam perlawanan liga pertama mereka.
Tottenham kemudian mula bangkit selepas seri menentang Manchester United, sebelum kemenangan ke atas Coventry, Chelsea dan Crystal Palace membantu mereka menjauhi zon penyingkiran.
Mengulas faktor kebangkitan pasukannya, De Zerbi berkata, “Kami perlu mengamalkan tingkah laku dan mentaliti yang betul, sentiasa bersemangat setiap hari serta berusaha mendapatkan keputusan. Itulah perkara terbaik yang boleh kami lakukan.” – AFP





