KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah melancarkan DBKU ‘Smart Pole’ atau Tiang Pintar sebagai inisiatif terbaharunya dalam usaha menjadikan Kuching sebuah bandar pintar bertaraf dunia.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek ini adalah langkah strategik untuk meningkatkan keselamatan, keselesaan, dan kemudahan di kawasan Tebingan Kuching.
“Setiap tiang pintar direka dengan teknologi terkini yang selaras dengan keperluan bandar pintar. Antaranya ialah, lampu LED cekap tenaga, kamera pengawasan, papan tanda digital, dan sokongan WiFi awam.
“Tiang Pintar ini akan dipasang di lima lokasi, termasuk Pejabat Tebingan Kuching, Panggung Udara berhampiran papan tanda I Love Kuching, dan taman permainan di Muzium Cina.
“Selain itu, tiang pintar ini juga ditempatkan di kawasan berhampiran Pangkalan Haji Omar serta di hadapan jeti dan laluan awam di Tebingan Kuching.
“Ia bukan sahaja memperkenalkan teknologi terkini tetapi juga memperkukuh identiti budaya Sarawak melalui reka bentuk tiang pintar yang dihiasi motif tradisional masyarakat Iban, Melayu, Cina, Bidayuh, dan Orang Ulu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Tiang Pintar DBKU di sini, malam tadi.
Abdul Rahman berkata pada 2023, DBKU menerima anugerah “Perintis Bandar Pintar” bersama peruntukan RM200,000 dari Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memasang lima unit tiang pintar di Tebingan Kuching.
Katanya, projek ini bermula pada 19 Ogos 2024 dan selesai pada 18 November 2024.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa warga Kuching untuk menjaga kemudahan awam yang disediakan bagi memastikan ia kekal berfungsi dan memberi manfaat jangka panjang kepada semua.
“Dengan ada teknologi seperti Tiang Pintar DBKU, kita tidak hanya melabur dalam infrastruktur pintar, tetapi juga dalam usaha mewujudkan bandar yang lebih selamat dan teratur.
“Kejayaan inisiatif ini bergantung kepada kerjasama kita semua dalam menjaga kemudahan yang disediakan dan menghindari vandalisme yang boleh merosakkan harta benda awam sebagai aset bersama,” katanya.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman.
Oleh Mohd Neenatul Aizal