KAPIT: Kerajaan Sarawak akan membina Dataran Kapit di tapak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit dan kawasan berdekatan Kubu Sylvia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan tersebut mempunyai nilai sejarah yang tersendiri kerana ia menjadi lokasi perjanjian damai di antara masyarakat Iban dan Orang Ulu pada 1924.
Menurutnya, kawasan lapang hijau dan moden itu akan dibina selepas IPD Kapit baharu yang telah diluluskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Kapit September lepas siap kelak.
“Kita perlu membangun dan memodenkan kawasan ini sebagai symbol perpaduan bukan hanya di Kapit, malah di Sarawak.
“Saya akan berbincang dengan Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan wakil rakyat tempatan yang lain berhubung pembinaan dataran tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan ulang tahun ke-100 Perjanjian Damai Kapit di Kubu Sylvia, hari ini.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan meneruskan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dengan menekankan tiga tonggak penting iaitu kemajuan ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam.
“Ketiga-tiga tonggak itu akan memastikan Sarawak terus bergerak ke hadapan di atas landasan yang betul.
“Apa yang penting, adalah memastikan keamanan terus terpelihara agar dapat menjadi platform generasi akan datang membawa lebih banyak pembangunan untuk Sarawak,” kata beliau.
Turut hadir, Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan; Menteri Belia Sukan dan Pembangunan Keusahawanan dan ADUN Asajaya Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching Raden Sigit Witjaksono, Penasihat Utama Jawatankuasa Pengelola Induk dan Pengerusi Yayasan Tun Jugah Datuk Patinggi Tan Sri Dr. Leonard Linggi Tun Jugah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta yang lain.
Oleh Akun Giman / Tarani Lanting