BAU: Polis Bau terus mempergiat usaha meningkatkan kesedaran mengenai jenayah komersial dalam kalangan guru dan staf Sekolah Kebangsaan (SK) Opar menerusi program ceramah pencegahan jenayah semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A Rahman berkata, program anjuran Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJKD) Bau itu berlangsung dari 2.00 hingga 4.00 petang di Bilik Taklimat SK Opar dan disertai 12 guru serta staf sekolah berkenaan.
Beliau berkata, ceramah tersebut memberi tumpuan kepada trend terkini jenayah komersial yang berlaku di Daerah Bau, termasuk penipuan e-dagang, penipuan telefon, pinjaman tidak wujud, akaun keldai, love scam serta penipuan secara bersemuka melibatkan pembayaran QR.

“Peserta turut diberikan panduan praktikal dan langkah pencegahan bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa jenayah komersial,” katanya.
Program itu turut memperkenalkan perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, termasuk Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di talian 997, aplikasi Whoscall dan portal Semak Mule.
Haide berkata, inisiatif berkenaan bertujuan mewujudkan komuniti yang celik digital serta lebih peka terhadap risiko jenayah siber.
Beliau berkata, program berkenaan berjalan lancar dan mendapat sambutan positif daripada pihak sekolah, dengan peserta menerima manfaat daripada maklumat serta panduan yang disampaikan.
Ceramah disampaikan oleh Sjn Shamsul Ezam Sahat dan Kpl Roy Stansfield Taha daripada BSJKD Bau.
Oleh Connie Chieng




