SIMANGGANG: Program Pembangunan Komuniti Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di Rumah Tini Rijan, Kampung Munggu Ruan menjadi platform memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan, pencegahan penyakit serta pematuhan peraturan.
Program berkenaan menghimpunkan empat agensi yang tampil menyampaikan ceramah dan perkongsian berkaitan isu yang dekat dengan kehidupan masyarakat setempat.
Antara pengisian yang disampaikan ialah ceramah Jenayah Siber oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala MDSA pula memberi penerangan mengenai pelesenan dan permit.
Pejabat Kesihatan Bahagian Sri Aman turut berkongsi maklumat mengenai langkah pencegahan penyakit bawaan nyamuk, sementara Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman menerangkan tatacara penggunaan alat pemadam api dengan betul.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Pengerusi MDSA, Kaunselor Anthony Abell Chendan yang mewakili Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis.

Dalam ucapannya, Anthony Abell merakamkan penghargaan kepada Datuk Francis Harden atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk mewakili timbalan menteri berkenaan, selain memberi kepercayaan kepada MDSA menguruskan peruntukan bagi membiayai pelaksanaan program.
Beliau berkata, program sedemikian penting sebagai usaha mendekatkan agensi kerajaan dengan masyarakat, khususnya dalam menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan, pencegahan dan pematuhan peraturan.
Menurutnya, program itu turut menjadi platform untuk wakil rakyat dan agensi berkaitan bertemu secara langsung dengan masyarakat setempat bagi mendengar permasalahan yang dihadapi serta mencari jalan penyelesaian demi kesejahteraan penduduk.
Dalam pada itu, Anthony Abell menyeru semua Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang hadir supaya terus menghargai pembangunan yang dibawa oleh wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kawasan masing-masing serta memberikan sokongan kepada kerajaan semasa.
Beliau berharap pendekatan turun padang seperti itu dapat diteruskan bagi memastikan isu dan keperluan masyarakat di peringkat akar umbi dapat diberi perhatian serta ditangani secara bersama.
Oleh Adi Safarman





