MALUDAM: Lebih 400 peserta Program Bantuan Lesen Memandu MyLesen B2 Bahagian Lingga berjaya menyelesaikan Ujian Bahagian 3 di Maludam yang berlangsung selama dua hari, berakhir semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, pelaksanaan ujian berkenaan memberi peluang kepada peserta menjalani proses mendapatkan lesen memandu motosikal B2 dengan lebih mudah dan dekat dengan kawasan kediaman mereka.
Menurut beliau, ujian yang dilaksanakan di jalan raya berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Meludam itu melibatkan lebih 400 peserta menerusi sesi pagi dan petang.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sri Aman yang menguruskan pelaksanaan program berkenaan serta menyediakan kemudahan kepada peserta untuk menjalani ujian di Maludam.
Katanya, pelaksanaan ujian di kawasan setempat bukan sahaja memudahkan urusan penduduk, malah membantu memperluas akses kepada peluang mendapatkan lesen memandu secara sah.

“Syabas dan tahniah kepada semua peserta atas kesungguhan, disiplin serta kerjasama yang diberikan sepanjang ujian berlangsung.
“Penghargaan turut diberikan kepada semua petugas dan pihak yang terlibat dalam memastikan perjalanan program dapat dilaksanakan dengan lancar,” katanya.
Dayang Noorazah berkata, Program MyLesen B2 turut menjadi antara usaha penting dalam membantu penduduk mendapatkan lesen memandu, selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya.
Beliau turut menyeru semua peserta supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menunggang motosikal dan mengamalkan sikap berhemah bagi melindungi diri serta pengguna jalan raya lain.
“Keselamatan merupakan tanggungjawab bersama. Lesen memandu bukan sekadar kelayakan untuk menunggang, tetapi perlu disertai dengan pengetahuan, disiplin dan sikap bertanggungjawab di jalan raya,” katanya.
Oleh Adi Safarman





