KUCHING, 28 November: Kerjasama strategik antara Plaza Merdeka dan Tourism Malaysia Wilayah Sarawak menerusi sambutan Krismas 2026 menjadi antara usaha memperkukuh Kuching sebagai destinasi beli-belah, gaya hidup dan pelancongan, selaras dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027.
Kerjasama sulung itu turut menyokong inisiatif Jualan Akhir Tahun Malaysia (MYES) 2026, sekali gus menggabungkan kemeriahan perayaan dengan usaha mempromosikan tarikan pelancongan, hospitaliti dan kebudayaan tempatan kepada pengunjung dalam dan luar negara.
Sambutan bertemakan ‘Musim Krismas Penuh Keajaiban: Kongsi Keajaiban, Sebarkan Kegembiraan’ itu dirasmikan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Sarawak, Rubiah Tul’Adwiyah Md Yusof, bersama Pengarah Eksekutif Plaza Merdeka Holdings Sdn Bhd, Plaza Merdeka Management Sdn Bhd dan The Waterfront Hotel, Dato Steve Ng serta Datin Anriza Wong Cordero.
Antara tarikan utama tahun ini ialah pokok Krismas luar bangunan setinggi 75 kaki yang menghadap Padang Merdeka, sekali gus menjadi mercu tanda perayaan di tengah bandar raya Kuching.
Hiasan itu turut menggabungkan elemen kempen Tahun Melawat Malaysia menerusi maskot rasminya, Wira dan Manja, serta Miss SHOPhia bagi meningkatkan keterlihatan kempen pelancongan negara.
Selain hiasan perayaan, Plaza Merdeka dan Tourism Malaysia turut menganjurkan kempen penebusan hadiah Krismas Gachapon dari 12 hingga 26 Disember ini, bersempena ulang tahun ke-14 pusat beli-belah berkenaan dan MYES 2026.
Pembeli berpeluang memenangi pelbagai hadiah termasuk baucar penginapan The Waterfront Hotel, bagasi perjalanan, beg, baucar tunai, baucar makanan dan minuman, minyak wangi serta cenderamata eksklusif Tahun Melawat Malaysia.
Pengunjung turut boleh mengunjungi Bazar Krismas di Aras Bawah yang menampilkan 16 peniaga dengan pelbagai produk perayaan, pilihan hadiah dan juadah bermusim sehingga 3 Januari 2027.
Dalam usaha meningkatkan keselesaan pengunjung, Plaza Merdeka turut memperkenalkan ruang medan selera yang diperbaharui di Aras Tiga dengan konsep restoran moden, menawarkan suasana lebih selesa untuk menjamu selera bersama keluarga dan rakan.
Selain aktiviti peruncitan, Plaza Merdeka terus menyumbang kepada perkembangan industri pelancongan, kebudayaan dan hiburan menerusi penganjuran serta sokongan terhadap 182 acara dan jelajah promosi sepanjang 2026.
Antara acara utama yang berlangsung termasuk Kuching Marathon 2026, WAK Festival, Rainforest World Music Festival 2026 dan Nexus of Powerlifting Event.
Penganjuran pelbagai acara itu memperkukuh peranan Plaza Merdeka sebagai lokasi tumpuan komuniti dan pengunjung, selain menyokong perkembangan sektor pelancongan, kebudayaan, sukan dan hiburan di Sarawak.
Sambutan Krismas tahun ini turut mendahului ulang tahun ke-14 Plaza Merdeka yang bakal diraikan pada 12 Disember ini, sejak pusat beli-belah berkenaan mula beroperasi pada tarikh sama pada 2012.
Sepanjang tempoh itu, Plaza Merdeka terus melaksanakan penambahbaikan kemudahan, termasuk pembaharuan ruang medan selera dan siling atrium, dengan beberapa pembangunan baharu turut dirancang pada 2027 dan seterusnya.
Pihak pengurusan turut merakamkan penghargaan kepada penyewa, rakan niaga, penaja, pekerja, pengunjung dan komuniti atas sokongan berterusan, selain berharap kerjasama dengan Tourism Malaysia dapat diperluas bagi mempromosikan sektor pelancongan, peruncitan dan gaya hidup Sarawak.
Oleh Adele Rissa



