PUSA: Sebanyak 13 jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) di Daerah Pusa telah diluluskan dana berjumlah RM1.27 juta keseluruhan dari Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata peruntukan yang disalurkan itu melibatkan bantuan untuk program seperti pertanian pintar fertigasi cili, perternakan ikan talapia merah dan kemudahan sewaan sistem audio, kanopi dan alat muzik.
“JKKK hendaklah memastikan peruntukan yang diberi diuruskan sebaik mungkin demi manfaat JKKK dan penduduk setempat.
“Apabila sesebuah JKKK mempunyai kewangan yang kukuh kerana urus tadbir yang baik, ia mampu memberi kemudahan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan Dana Sejati Madani Daerah Pusa di Dewan Rahmaniah Kampung Pusa dekat sini semalam.
Fadillah berkata sekiranya sesebuah JKKK tidak mempunyai kepakaran untuk tadbir urus dan mengembangkan kewangan, pergilah mendapatkan nasihat serta pandangan dari pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pakar.
“Jangan malu bertanya dan pergilah mendalami ilmu pengurusan akaun serta perniagaan.
“Saya yakin apabila JKKK mempunyai kepakaran urus tadbir kewangan, ia akan menjadi JKKK yang kuat dan berkembang maju hingga mampu membantu masyarakat secara menyeluruh,” katanya.
Dalam pada itu, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM1 bilion di bawah Program Sejati Madani pada 2024 dengan nilai geran sehingga RM100,000 kepada komuniti untuk menjayakan program tersebut.
Program Sejati Madani bertujuan untuk merancakkan ekonomi komuniti yang melibatkan lima sektor tumpuan utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti dan aktiviti hijau dan kitar semula.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan, Datuk Gerald Rentap Jabu; Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, ADUN Beting Maro, Razaili Gapor dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Oleh ADI SAFARMAN