KUCHING: Maraton Kuching 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ahad ini, 27 September, dibatalkan susulan keadaan jerebu yang melanda Kuching dan kawasan sekitarnya.
Keputusan itu diumumkan oleh Persatuan Maraton Kuching (KMA) menerusi kenyataan hari ini selepas pihak penganjur memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) serta keadaan persekitaran lain sejak jerebu mula melanda pada awal bulan ini.
Menurut KMA, pihak penganjur turut berunding dengan pihak berkuasa berkaitan serta penasihat perubatan sebelum keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kesihatan dan keselamatan semua pihak.
“Keputusan sukar ini dibuat selepas penilaian teliti dan kesihatan serta keselamatan semua pihak, termasuk peserta, kru, sukarelawan, pegawai, pasukan perubatan dan orang awam, perlu diutamakan,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, semua peserta berdaftar masih boleh mendapatkan pingat penamat dan baju penamat bermula esok di Pusat Beli-Belah Plaza Merdeka, kawasan Alfresco.
KMA memaklumkan jadual dan arahan pengambilan akan diumumkan menerusi platform media sosial rasmi penganjur hari ini.
Penganjur turut memohon maaf atas kekecewaan susulan pembatalan berkenaan serta menghargai kefahaman, kesabaran dan sokongan semua pihak.
Oleh Afiq Sallehi




