SRI AMAN: Dakwaan kononnya kerajaan tidak memiliki pelan jangka panjang untuk melaksanakan Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di kawasan Batu Lintang, Undop di sini adalah tidak benar sama sekali.
Ini kerana kerajaan menerusi Kementeriaan Pembangunan Luar Bandar (KPLB) telah pun melulus sebanyak RM42 juta bagi melaksana projek itu di kawasan tersebut sekarang kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
“Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) cawangan Sri Aman, Leon Jimat Donald telah menyatakan dakwaan berkenaan di sebuah akhbar tempatan Bahasa Inggeris pada 19 Julai lalu.
“Ingin saya tegaskan di sini bahawa dakwaan beliau adalah tidak benar sama sekali. Projek BALB bernilai RM42 juga di Batu Lintang, Undop sedang berlangsung sekarang dan dijangka siap pada 26 November ini,” kata Harden.
Beliau memberitahu bahawa Projek BALB berkenaan telah bermula dilaksana semenjak 27 Mei tahun lepas namun mengalami penangguhan sementara disebabkan oleh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Justeru Harden memohon kepada penduduk di kawasan Batu Lintang, Undop agar bersabar dan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak kontraktor, JBALB dan KPLB agar projek tersebut dapat dilaksana dengan lancar kelak.
“Projek berkenaan akan memberi manfaat kepada 34 buah rumah panjang di kawasan Ulu Paku dan Batu Lintang, Undop yang belum mempunyai akses terhadap bekalan air terawat sebelum ini apabila ia sudah siap dilaksana kelak,” kata beliau.
Beliau turut memberitahu pihak pembangkang tidak memperoleh maklumat tepat berhubung perkara ini di samping kurang peka terhadap proses pembangunan yang sedang rancak dilaksana di sini sekarang.
“Tindakan mengeluarkan kenyataan secara membuta tuli dan tanpa usul periksa ini akhirnya membuka pekong di dada mereka sendiri yang secara terang-terangan tidak mengikuti perkembangan semasa proses pembangunan di kawasan ini,” kata Harden.
Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana menitikberatkan keperluan pembangunan penduduk di samping menjaga kepentingan Sarawak dari masa ke semasa.
“Projek pembangunan infrastruktur di DUN Simanggang akan turut diterus dengan menambah dan menaik taraf kemudahan sedia ada dan bukan dibuat secara bermusim,”kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu.
Oleh Valentine Ngumbang