ROBAN: Daerah Kecil Roban dijangka dibanjiri kira-kira 30,000 lautan manusia bermula hari ini hingga Ahad nanti sempena tiga hari penganjuran Festival Makanan Roban (RFF) 2024.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, penganjuran RFF 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Pesta Roban dilihat sebagai pentas terbaik untuk memajukan sektor sukan, riadah, pelancongan, dan sosioekonomi masyarakat setempat.
Katanya, RFF 2024 bahkan festival berperanan besar dalam pembangunan dan perpaduan dalam kalangan penduduk di Daerah Saratok dan sekitarnya.
“Festival ini juga merupakan landasan positif untuk membangun dan menggiatkan lagi sektor sosio ekonomi golongan peniaga dan penjaja tempatan. Kita bakal melihat kebanjiran pengunjung dari dalam dan luar daerah kecil Roban di setiap acara dan venue program pada festival ini.
“Bagi acara kemuncak pada RFF 2024 ini, iaitu perebutan Raja Sungai Seblak dalam acara lumba perahu Gaya Sambas melibatkan bidar 10 pekayuh, kita menawarkan hadiah wang tunai RM5,000 kepada pasukan yang bakal bergelar Raja Sungai Seblak 2024,” katanya semasa melakukan tinjauan di tapak penganjuran RFF 2024 di Roban, hari ini.
Mohamad Duri berkata penganjuran RFF 2024 juga merupakan lambang perpaduan dan keharmonian kerana masyarakat dapat hidup secara harmoni dan bekerjasama dalam segala hal.
Tambahnya, antara keistimewaan yang diketengahkan pada penganjuran RFF 2024 yang kedua kalinya dianjurkan pada kali ini ialah sebuah replika rumah panjang masyarakat Iban yang dibina berkonsepkan keaslian dan ketradisionalan di Pekan Roban.
“Seperti sedia lihat pada penganjuran sebelum ini, replika rumah panjang ini telah menjadi perhatian utama dan dikunjungi oleh masyarakat berbilang kaum dan agama.
“Jadi, dengan pengekalan replika rumah panjang ini semasa RFF itu nanti, semua pengunjung tidak kira bangsa akan terus berpeluang merasai suasana sebenar ketika berada di rumah panjang,” katanya.
Jelasnya, RFF yang sebelum ini dinamakan Pesta Roban ini telah diberi nafas baharu dan akan dimeriahkan dengan beberapa pengisian program menarik sepanjang berlangsung festival itu.
Antaranya ialah Pekan Sari Roban, pameran dan jualan seni kraf tangan, replika rumah panjang tradisi, mini pesta ria, persembahan tarian etnik Silang Budaya, pansuh tiga serumpun.
Selain itu turut diadakan ialah pertandingan Seri Kumang Roban, pertandingan persembahan tarian etnik Roban, Ratu Etnik Roban, jaguh tarik tali atas air Sungai Seblak Roban dan pertandingan lumba perahu Sungai Seblak.
Oleh Adi Safarman