BETONG: Penggunaan teknologi dron dalam sektor pertanian serta cadangan penubuhan autoriti khas bagi menyelaras pembangunan tasik dan kawasan semula jadi berpotensi dilihat mampu memperkukuh pembangunan ekonomi Bahagian Betong.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, penerapan teknologi moden dalam sektor pertanian penting bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan produktiviti, selain memperkukuh pengeluaran makanan untuk pasaran tempatan serta luar negara.
Menurutnya, penggunaan dron dalam aktiviti pertanian bagaimanapun memerlukan tenaga mahir yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan berkaitan bagi memastikan teknologi itu dapat dimanfaatkan secara berkesan.
“Pendekatan berasaskan teknologi juga perlu diterapkan dalam sektor pertanian bagi meningkatkan produktiviti, selain membantu Sarawak memperkukuh pengeluaran makanan untuk pasaran tempatan dan luar negara.
“Dron adalah penting dan kita perlu ada tenaga yang boleh mengendalikan serta menguruskan teknologi ini dengan baik,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Betong, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata, penggunaan teknologi terkini turut membuka ruang kepada Betong untuk mengembangkan potensinya sebagai kawasan pengeluaran hasil pertanian, mengambil kira kesesuaian tanah serta peluang memperluaskan pengeluaran makanan.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak bercadang menubuhkan autoriti khas bagi menyelaras pembangunan tasik dan kawasan semula jadi berpotensi di Bahagian Betong sebagai produk pelancongan baharu.
Katanya, autoriti berkenaan akan memastikan pembangunan aset semula jadi dilaksanakan secara terancang, termasuk memantau usaha membangunkan tasik yang berpotensi dijadikan kawasan peranginan.
“Kalau ada lokasi di mana mereka bangunkan tasik menjadi kawasan resort, maka insya-Allah kita akan membangunkan satu autoriti yang akan memantau semua tasik-tasik kita, termasuk semua kawasan semula jadi yang ada potensi,” katanya.
Menurutnya, Betong mempunyai pelbagai aset semula jadi termasuk tasik dan lokasi menarik yang boleh diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu, sekali gus memberi manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
Katanya, penambahbaikan kemudahan perhubungan dan infrastruktur juga penting bagi meningkatkan akses ke lokasi berpotensi, terutama dengan memendekkan tempoh perjalanan ke destinasi berkenaan.
Abang Johari berkata, keunikan alam semula jadi boleh digabungkan dengan elemen budaya dan makanan tempatan bagi membentuk pakej pelancongan yang lebih menarik serta menawarkan pengalaman menyeluruh kepada pengunjung.
“Ini adalah sektor yang boleh memberi manfaat kepada orang kita,” katanya.




