KUANTAN: Polis giat mengesan lima lelaki warga tempatan termasuk seorang yang dipercayai dalang utama dalam kes kecurian cip kasino bernilai lebih RM4.6 juta di Genting Highlands pada 28 Oktober lepas, yang dipercayai kecurian cip terbesar di pusat peranginan itu.
Mereka ialah Lee Kien Keong, 44, dari Taman Medan Indah Sungai Lui, Raub yang dipercayai antara dalang utama; Sam Ting Gai, 42, dari Taman Sri Damak, Jerantut; Ho Kian Lim, 46, dari Kampung Baru Sempalit, Raub; Ho Kian Yew, 51, dari Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru dan Chung Chee Lui, 39, dari Taman Bayu Perdana, Klang, Selangor.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya juga telah menahan 10 suspek termasuk seorang warga China yang berusia antara 30 hingga 59 tahun pada serbuan di Genting Highlands dan Raub di Pahang, Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan antara 29 Oktober hingga 1 November lepas.
Mengulas mengenai kejadian, Yahaya berkata kecurian 1,160 cip yang disimpan di sebuah bilik kasino khas disedari pada 10.00 pagi 28 Oktober lepas oleh pengurusan kasino dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki memecah masuk bilik itu pada 7.00 pagi hari sama, selepas mengumpil pintu belakang yang digunakan sebagai laluan kecemasan.
“Bilik kasino khas itu difahamkan telah dua hari tidak digunakan dan seorang daripada suspek yang ditahan pernah bekerja di kasino tersebut manakala suspek lain yang bekerja sendiri, dipercayai pengunjung tetap dan biasa dengan persekitaran kasino berkenaan.
“Selepas mencuri cip bernilai antara 500 dan 10,000, ada antara suspek menunaikan cip itu dalam tempoh 48 jam selepas kejadian dan menggunakan wang tersebut untuk berjudi selain ada yang membayar hutang judi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini, hari ini.
Yahaya berkata setakat ini, polis berjaya merampas 428 cip bernilai RM2.997 juta iaitu 149 keping daripada suspek manakala 279 keping dari kasino kerana telah ditunaikan yang dianggarkan bernilai lebih RM1 juta manakala usaha bagi mengesan baki 732 cip sedang dilakukan.
Selain itu, polis juga merampas wang tunai RM16,438 daripada suspek dan seutas rantai emas yang dipercayai dibeli menggunakan wang yang telah ditunaikan, selain turut menemukan dua kad keahlian Genting Highlands.
Yahaya berkata ada dalam kalangan suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, jika sabit kesalahan.
Polis juga meminta mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes untuk menghubungi pegawai penyiasat di 09-2222222 atau balai polis berhampiran. – Bernama