KUCHING: Polis sedang mengesan sekumpulan individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian memukul seorang lelaki berusia 28 tahun di sebuah kedai makan di kawasan Pekan Kota Sentosa, di sini, pada 18 September lalu.
Ketua Polis Daerah Padawan, P/Supt Barry William berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian mendatangkan kecederaan itu kira-kira 7.45 malam pada hari sama.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku sekitar 7.00 malam apabila mangsa dipukul oleh seorang individu yang dikenalinya bersama beberapa individu lain menggunakan tangan dan objek keras.
“Mangsa mengalami beberapa kecederaan luaran di bahagian kepala, belakang badan, tangan dan kaki serta mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).
“Polis sedang berusaha mengesan dan mengenal pasti suspek serta individu lain yang dipercayai terlibat,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah rumah tangga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sehubungan itu, Barry meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan berhubung kejadian berkenaan, khususnya menerusi media sosial.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu pihak polis. Kerjasama masyarakat amat dihargai bagi memastikan siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh,” katanya.





