
ENGKILILI: Tindakan seorang lelaki tempatan menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) membawa padah apabila dia ditahan dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dijalankan di Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Engkilili, petang semalam.
Menurut kenyataan media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lubok Antu menjelaskan lelaki berusia lingkungan 60an itu ditahan bersama seorang warga asing berusia lewat 20an yang gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri ketika pemeriksaan dilakukan.

Kedua-dua suspek ditahan oleh pasukan Task Force IPD Lubok Antu selepas kenderaan yang dipandu lelaki tempatan berkenaan didapati berhenti dalam keadaan mencurigakan bagi mengelakkan sekatan jalan raya polis.
Pemeriksaan lanjut terhadap penumpang kenderaan itu mendapati lelaki warga asing terbabit tidak memiliki dokumen perjalanan atau permit yang sah untuk berada di negara ini.
Susulan itu, kedua-dua mereka ditahan untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke IPD Lubok Antu bagi siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji PATI serta Seksyen 6(1)(c) akta sama kerana berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah berkenaan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah, Inspektor Nelson Ensit.
Seramai 19 anggota polis daripada pelbagai cawangan dan pangkat terlibat dalam operasi yang bertujuan mencegah serta membanteras kegiatan jenayah di daerah itu.
Selain meningkatkan kehadiran polis di kawasan tumpuan, operasi tersebut turut memfokuskan usaha mengesan individu dikehendaki, memeriksa individu dan kenderaan mencurigakan serta mengurangkan kesalahan lalu lintas.
Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 155 kenderaan dan 176 individu diperiksa, manakala 20 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
IPD Lubok Antu menegaskan akan terus mempergiat penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah itu sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman