PADAWAN: Pasukan ronda cegah jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan berjaya mematahkan cubaan sebuah lori membawa minuman keras yang disyaki tidak bercukai dekat Jalan Stakan, pagi semalam.
Ketua Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Superintenden Aidil Bolhassan berkata keadaan mencurigakan teehadap seorang pemandu lori terbongkar apabila didapati membawa minuman keras sebanyak 120 kotak.
“Lelaki berusia 24 tahun beralamatkan dari Kampung Ensebang Quary itu ditahan di Jalan Stakan jam 11.30 pagi.
“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan polis di dalam lori berkenaan telah menemui sebanyak 120 kotak atau 2,880 tin minuman keras.
“Kesemua minuman keras ini dianggarkan bernilai RM23,040,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.
Aidil berkata suspek gagal memberi sebarang dokumen yang sah berkaitan muatan minuman keras berkenaan.
Beliau menambah lelaki berusia 24 tahun yang ditangkap itu juga mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Katanya tangkapan dan rampasan dibuat mengikut Seksyen 135(1)(D) Akta Kastam 1967.
Oleh Adi Safarman