
BINTULU: Projek pemulihan Balai Raya Kampung Kemunting yang dilaksanakan melalui kolaborasi antara Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), syarikat pembinaan, dan komuniti setempat, membuktikan keupayaan kerjasama rentas sektor dalam memulihkan kawasan terjejas akibat bencana.
Inisiatif di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) – Build Brigade – CSR CIDB dan Industri Pembinaan Bahagian Bintulu – berjaya membaik pulih balai raya yang merupakan pusat utama aktiviti sosial dan kemasyarakatan penduduk kampung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, menyifatkan projek ini sebagai contoh terbaik bagaimana sinergi antara sektor kerajaan, swasta dan komuniti mampu mengatasi cabaran bersama.
“Bencana banjir yang melanda sebelum ini telah memberi kesan besar terhadap infrastruktur tempatan. Namun, hari ini kita menyaksikan bagaimana kolaborasi ini bukan sahaja membina semula bangunan, malah memulihkan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan projek di Balai Raya Kampung Kemunting, semalam.
Menurut Iskandar, pemulihan kemudahan awam seperti ini bukan sekadar memperbaiki struktur fizikal, malah membuka ruang kepada pelbagai aktiviti kemasyarakatan untuk diteruskan dalam persekitaran yang selamat dan kondusif.
“Ia sekali gus memperkukuh jaringan sosial dalam kalangan komuniti serta menyemarakkan semula kehidupan bermasyarakat,” ujarnya.
Projek pemulihan ini melibatkan enam syarikat pembinaan yang berganding bahu melaksanakan pelbagai kerja termasuk membaik pulih struktur bangunan, pagar, dan pintu, pemasangan kipas industri dan ‘roller shutter’, pendawaian elektrik, kerja mengecat serta pembersihan kawasan sekitar.
Syarikat terlibat ialah Hyup Soon Industries Sdn. Bhd., Paling Construction Sdn. Bhd., China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd., Dumas Holdings Sdn. Bhd., Score EPC Sdn. Bhd., dan Hing Teck Glass & Aluminium Sdn. Bhd.
Iskandar turut menggesa lebih banyak syarikat dalam industri pembinaan agar tampil menyumbang menerusi pendekatan seumpama ini.
“Saya yakin, dengan pendekatan sebegini, lebih banyak kawasan dapat dipulihkan dan lebih ramai rakyat akan menerima manfaat hasil usaha bersama merentas sektor,” katanya lagi.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis merangkap Pengerusi CIDB Malaysia Ir. Yusuf Abd Wahab, Pengarah CIDB Sarawak Ts. Rosmen Ag. Hassan, serta Pegawai Daerah Bintulu Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan.
Oleh Carolyne Utih