CHELSEA naik ke tangga ketiga dalam Liga Perdana Inggeris setelah bertahan untuk mencatat kemenangan menarik 3-2 di Crystal Palace.
Pasukan Frank Lampard semakin hampir untuk merebut tempat dalam Liga Juara-Juara UEFA musim depan dengan kemenangan ketujuh daripada lapan perlawanan membawa mereka satu mata di depan Leicester dan membuka kelebihan lima mata ke atsa Manchester United di tangga kelima.
The Blues bernasib baik ketika membuka jaringan di Selhurst Park ketika mantan kapten Chelsea, Gary Cahill terjatuh sambil memegang ‘hamstring’ beliau untuk membolehkan Willian melakukan hantaran kepada Olivier Giroud untuk gol keempatnya dalam enam perlawanan.
Prestasi Christian Pulisic sejak Liga Perdana Inggeris disambung semula membawa perbandingan dengan Eden Hazard, pemain yang digantikannya di Stamford Bridge, dan pemain antarabangsa Belgium itu pasti berbangga dengan gol kedua Chelsea ketika pemain berusia 21 tahun dari Amerika itu menewaskan Joel Ward dan terus melakukan percubaan menepati sasaran.
“Christian sangat penting,” tambah Lampard. “Anda melihat pemain penyerang terbaik di dunia dan mereka menjaringkan gol dan sering melakukan ‘assist’ yang memenangi permainan dan pada masa ini dia melakukan semua itu, jadi saya gembira dengannya.”
Seperti biasa musim ini, pasukan Lampard gagal memanfaatkan penguasaan mereka dan tiba-tiba bertahan ketika Wilfried Zaha melakukan percubaan kencang tinggi menewaskan Kepa Arrizabalaga daripada jarak jauh untuk gol pertama Palace dalam empat perlawanan.
Chelsea kelihatan seperti berjaya merangkul tiga mata sekali lagi apabila pemain gantian Ruben Loftus-Cheek dan Tammy Abraham bergabung untuk mengembalikan kelebihan dua gol 19 minit sebelum tamat.
Namun , hanya lebih satu minit kemudian, Palace kembali dalam permainan apabila gerakan menarik disusuli dengan hantaran Patrick van Aanholt disudahi oleh Christian Benteke untuk gol kedua beliau musim ini.
Masih ada persoalan adakah pertahanan Chelsea akan cukup kuat untuk mempertahankan cabaran gelaran musim depan dan mereka dibiarkan terus bertahan dalam masa kecederaan ketika Kepa menyelamatkan tandukan Scott Dann dan hanya cabaran terakhir daripada Kurt Zouma menafikan Benteke daripada menjaringkan gol kedua beliau. – AFP