CCIBW 2026 perkukuh kerjasama polis, persiapan keselamatan diberi perhatian

Facebook
WhatsApp
KUNJUNGAN HORMAT… Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Penganjur Cat City International Bike Week 2026 (CCIBW 2026) yang diketuai Pengerusinya, Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki di IPD Kuching, baru-baru ini.

KUCHING: Jawatankuasa penganjur Cat City International Bike Week 2026 (CCIBW 2026) mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu, bagi membincangkan persiapan keselamatan menjelang penganjuran acara berkenaan.

Kunjungan yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa CCIBW 2026, Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki itu berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada 20 Ogos lalu.

Pertemuan berkenaan antara lain memberi penerangan kepada pihak polis mengenai perancangan penganjuran CCIBW 2026, selain membincangkan aspek keselamatan, pengurusan trafik dan pergerakan konvoi sepanjang acara berlangsung.

PERBINCANGAN… Alexson Naga Chabu berbincang dengan Abang Nor Nasaruddin Abang Noorzuki dan Ahmadul Mustapha.

Pihak penganjur turut menyerahkan kertas kerja program kepada pihak polis sebagai rujukan, selain memberikan taklimat berkaitan perjalanan keseluruhan acara.

CCIBW 2026 yang memasuki edisi ketiga dijadual berlangsung dari 28 hingga 31 Oktober serta 1 November 2026 di kawasan parkir Stadium Negeri Sarawak, Petra Jaya.

Acara berkenaan dijadual berlangsung dari jam 8 pagi hingga 11.30 malam dan dijangka menghimpunkan penunggang motosikal daripada pelbagai kategori serta kapasiti enjin.

Dalam pertemuan itu, Alexson turut mengingatkan peserta supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta mengutamakan keselamatan ketika menyertai konvoi.

Penganjuran CCIBW 2026 dijangka menjadi antara acara permotoran berskala besar di Kuching yang menghimpunkan komuniti penunggang motosikal dari dalam dan luar Sarawak.

Turut hadir dalam kunjungan berkenaan ialah Ahmadul Mustapha.

Oleh Shikin Mahmud