
LIMBANG: Tempahan tiket penerbangan seorang lelaki bersama rakannya yang juga pelajar perempuan sebuah kolej swasta di negeri ini melalui hantaran sebuah e-mel milik lelaki terbabit merupakan bukti kukuh untuk polis perluaskan siasatan.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, berdasarkan bukti itu, kedua-dua mereka Cathilyenn Santa Liong Siu Zhen 24 dan Muhamad Izzat Asnawai 21, masing-masing dari Limbang kini masih berada di London.
“Maklumat terkini mereka ini memang satu penerbangan dan menggunakan tempahan tiket yang sama. Berdasarkan tempahan tiket itu, menunjukkan mereka melalui penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke London pada 3 Mei lepas,” katanya kepada media hari ini.
Parum berkata pihaknya berjaya mengesan e-mel milik Izzat sebelum menjumpai tempahan tiket penerbangan secara atas talian.
“Kita juga masih menunggu maklumat lanjut daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London,” ujarnya.
Katanya, pihaknya juga sedang menyiasat lebih lanjut motif kedua mereka ke London dan individu yang membuat tempahan tiket berkenaan.
Terdahulu ahli keluarga Cathilyenn dan Izzat melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan anak mereka yang dipercayai terbang ke luar negara sejak Sabtu lepas.
Keluarga masing-masing memohon bantuan pelbagai pihak demi keselamatan anaknya selain meminta anaknya pulang kepangkuan mereka dengan selamat.
Sebelum ini kehilangan Izzat dan rakan perempuannya tular dalam media sosial selepas keluarga mereka memohon bantuan bagi mengesan kehilangan mereka.
Kedua-dua mereka kali terakhir dikesan berada di kawasan Horizon Suites, Selangor Sabtu lepas dan tidak dapat dihubungi sejak 10.00 malam pada hari yang sama.
Dua laporan polis telah dibuat terhadap kehilangan mereka.
Parum yakin penemuan bukti baharu akan membantu siasatan lebih menyeluruh.
Oleh Adeng Idrus