Penunggang motosikal buat aksi ‘Superman’ di Lebuhraya Pan Borneo ditahan

Facebook
WhatsApp
SUSPEK... Suspek ditahan polis selepas tular melakukan aksi berbahaya ‘Superman’ ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Pan Borneo Telok Melano-Bau. Foto: PDRM

LUNDU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun yang tular di media sosial selepas melakukan aksi berbahaya ‘Superman’ ketika menunggang motosikal di KM 61.2 Lebuhraya Pan Borneo Telok Melano-Bau pada 4 September lalu.

Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram, berkata video berdurasi 12 saat itu memaparkan lelaki berkenaan meniarap di atas motosikal ketika menunggang secara melulu.

Katanya, hasil risikan dan tindakan segera Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Lundu, suspek berjaya dikesan dan ditahan di kediamannya di Kampung Raso 1, sekitar 9.30 pagi tadi.

“Suspek turut ditahan di lokap Balai Polis Lundu selepas ujian saringan awal air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta hilang kelayakan memandu.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sudirman berkata, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melakukan aksi berbahaya di jalan raya sehingga boleh mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Beliau menasihatkan orang awam supaya tidak meniru aksi berkenaan serta meminta ibu bapa memantau pergerakan dan aktiviti anak masing-masing.

Beliau turut mengalu-alukan kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan trafik kepada Bilik Gerakan IPD Lundu.

Oleh Connie Chieng