BINTANGOR: Dua lelaki masing-masing berusia 27 tahun ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis Khas yang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong semalam.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering, berkata kedua-dua suspek ditahan sepasukan polis kira-kira 6.30 petang sebelum dibawa ke IPD Meradong untuk tindakan lanjut.
“Saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Meradong mendapati mereka positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Berdasarkan semakan rekod lampau, didapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah atau kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tansli berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak lebih daripada RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada dua tahun.
“Pihak polis IPD Meradong memandang serius kesalahan berkaitan dadah dalam kalangan masyarakat dan tidak akan berkompromi dengan masalah tersebut.
“Saya menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong,” katanya.
Katanya, kerjasama masyarakat dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan dadah amat penting bagi membantu polis mengambil tindakan terhadap aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah tersebut.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan dadah di Daerah Meradong boleh menghubungi Balai Polis Bintangor menerusi talian 084-693222,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek





